Kelab Bola Sepak Perak (PFC) semalam telah melancarkan jersi rasmi untuk musim 2023. Jersi berjenama Cheetah ini akan dipakai oleh semua pemain Perak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang bakal bermula pada bulan depan.
Baca Juga:
- Iklan Tahun Baharu Cina Perak FC ‘Satukan’ Lim Teong Kim & Tan Cheng Hoe
- RASMI: Hadi Fayyadh Perkuatkan Serangan Perak
- V. Saravanan Kembali Ke Tanah Air, Dilantik Penolong Jurulatih Perak
Reka bentuk jersi “home” dan kit ketiga Perak FC 2023 mengambil inspirasi daripada 12 daerah di Perak dan ia melambangkan perpaduan dalam kalangan rakyat Perak, keterangkuman dan kebanggaan negeri rakyatnya.
Warna kuning dipilih untuk jersi “home” untuk pasukan Perak FC. Pemilihan warna tersebut bukan hanya kerana ia ada pada bendera negeri, ia juga melambangkan kesetiaan kepada negeri dan institusi dirajanya.
Terdapat 6 jenis warna pada jersi Perak kali ini. Selain jersi kuning yang akan dipakai untuk perlawanan di tempat sendiri, mereka juga melancarkan jersi warna hitam untuk perlawanan di tempat lawan serta warna putih untuk kit ketiga.
Semua warna jersi ini melambangkan warna bendera negeri Perak jika disatukan. Manakala jersi berwarna hijau, pink dan biru khas untuk dipakai oleh pemain yang beraksi di poisisi penjaga gol.
Negeri Perak terkenal dengan kehijauan yang subur, landskap indah & gunung tinggi. Reka bentuk jersi tempat lawan Perak FC diinspirasikan daripada gunung tertinggi Perak, Gunung Korbu. Ia mewakili visi dan misi kelab bola sepak, bahawa suatu hari nanti ia akan kembali ke puncak tertinggi sekali lagi, sama seperti zaman dahulu kala.
Lebih menarik, setiap jersi ini turut dilengkapi oleh ‘QR Code’ yang membantu pembeli mendaftarkan nama sebagai pemilik rasmi. Pembeli hanya perlu imbas QR Code tersebut dengan menggunakan ‘smartphone’ masing-masing.
Seterusnya, para pembeli hanya perlu mengisi maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon serta alamat email. Jika tiada apa-apa paparan selepas imbas QR Code tersebut, ia bermakna jersi itu adalah tiruan dan bukan keluaran rasmi daripada Perak FC.
Fungsi QR Code ini adalah untuk mengesahkan ketulenan jersi tersebut sambil mengelakkan daripada isu cetak rompak. Malah, pengurusan Perak FC juga boleh menyimpan data maklumat para penyokong yang telah mendaftar menerusi QR Code tersebut.
Peminat bola sepak tempatan menyifatkan ia langkah yang bijak kerana pengurusan Perak FC manfaatkan kecanggihan teknologi terkini untuk memastikan setiap penyokong hanya membeli jersi original sahaja daripada penjual rasmi.