Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann berkata pada Ahad bahawa hanya kejayaan menjuarai Piala Dunia mampu membungkam pengkritik pasukannya, ketika mereka bersiap sedia untuk pertembungan pusingan 32 terakhir menentang Paraguay.

Meskipun mara sebagai juara Kumpulan E dengan baki satu perlawanan selepas membelasah Curacao 7-1 dan mencatatkan kemenangan lewat 2-1 ke atas Ivory Coast, kekalahan kepada Ecuador dalam aksi terakhir mereka telah menimbulkan lebih banyak keraguan tentang peluang Jerman untuk melangkah jauh dalam kejohanan itu.

Sekalipun mereka berjaya menewaskan pasukan Paraguay yang menduduki tempat ketiga dalam kumpulan mereka pada Isnin berhampiran Boston, anak buah Nagelsmann mungkin akan berdepan dengan kehebatan Perancis dalam pusingan 16 terakhir.

“Apabila bercakap mengenai pasukan kebangsaan Jerman, segalanya adalah tentang usaha untuk memenangi setiap perlawanan. Apa yang penting adalah meraih kemenangan dalam perlawanan esok,” kata Naglesmann dalam sidang media praperlawanan pada Ahad.

“Untuk menangani jangkaan, apa yang penting adalah mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mempunyai perancangan yang baik, dan cuba memberikan rancangan yang terbaik kepada pemain supaya mereka berasa selesa di atas padang, memiliki keupayaan untuk melakukan perkara yang betul di padang, menunjukkan betapa hebatnya mereka sebagai pemain, dan seterusnya memenangi perlawanan.”

“Kemenangan adalah segala-galanya dalam bola sepak. Jika menang, segalanya sempurna. Jika kalah, segalanya hancur. Jadi kita mesti menang esok.”

Bekas jurulatih Bayern Munich itu berkata pasukannya telah melakukan “bunuh diri taktikal” dalam kekalahan kepada Ecuador meskipun mendahului lebih awal.

Berbeza dengan segelintir pengurus lain yang mengambil peluang untuk merehatkan beberapa pemain tonggak bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan selepas mengesahkan kelayakan, Nagelsmann menurunkan barisan yang hampir dengan kekuatan penuh untuk perlawanan itu, namun beliau yakin tiada kesan negatif yang akan menjejaskan pasukan.

“Kita memerlukan persembahan yang sempurna esok,” tambah beliau. “Melihat kepada sesi latihan, saya boleh katakan bahawa saya sangat gembira dan para pemain akan mempamerkan aksi terbaik mereka esok.”

Havertz ‘selesa’ di pentas besar

Meskipun Deniz Undav memberikan impak besar sebagai pemain gantian dengan menjaringkan tiga gol dan melakukan dua hantaran bantuan dalam dua perlawanan pembukaan, Kai Havertz dijangka akan kekal menerajui jentera serangan.

Penyerang Arsenal itu tidak sabar untuk merasai saingan pusingan kalah mati pertamanya di Piala Dunia selepas Jerman tersingkir di peringkat kumpulan dalam dua edisi kejohanan sebelum ini.

“Secara amnya, saya rasa saya memang menyukai perlawanan besar. Saya tidak tahu mengapa. Saya cuma berasa selesa,” kata Havertz, yang telah menjaringkan gol dalam dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara (Champions League), satu bersama Gunners dan satu lagi bersama Chelsea.

“Saya hanya berharap dapat meneruskan rentak itu di pentas terbesar, Piala Dunia.”

Havertz meledak dua gol dalam aksi membelasah pasukan kerdil Curacao. Namun, jentera serangan Jerman yang menyinar di laman sendiri ketika Euro 2024, menerusi gandingan Havertz bersama Florian Wirtz dan Jamal Musiala, masih belum menemui rentak di Piala Dunia.

Havertz dan Musiala masing-masing mengalami musim yang terganggu akibat kecederaan, manakala Wirtz bergelut untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana (Premier League) dalam kempen pertamanya selepas perpindahan bernilai £100 juta ($132 juta) ke Liverpool.

“Kami sangat rapat. Sudah tentu kami berbincang tentang apa yang boleh kami tingkatkan dan perbaiki. Kami benar-benar mahu memanfaatkan potensi sepenuhnya dan kami bertiga sedar akan perkara itu,” tambah Havertz mengenai hubungannya dengan Wirtz dan Musiala.

“Menjelang perlawanan esok, kami sangat yakin bahawa kami mampu menang. Saya fikir kami bertiga sudah pun pernah beraksi di pentas yang sangat besar dan kami percaya kepada kemampuan kami.”