Wakil Asia, Jepun tekad lakar satu lagi kejutan dalam saingan Piala Dunia 2022 di Qatar apabila dijadualkan bertemu naib juara Piala Dunia 2018, Croatia dalam perlawanan suku akhir malam esok.

Pengendali skuad Samurai Blue, Hajime Moriyasu berkata dia meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir di Piala Dunia selepas mereka mengejutkan Sepanyol 2-1 sekaligus menjuarai Kumpulan E.

Ini adalah kali keempat Jepun mara ke pusingan 16 terbaik tetapi mereka belum pernah mara melebihi peringkat itu. Moriyasu yakin anak buahnya mampu menewaskan Croatia berdasarkan prestasi mereka yang turut menewaskan Jerman, 2-1 di peringkat kumpulan.

“Daripada segi penamat, sasaran baharu kami ialah lapan terakhir. Pemain menunjukkan keupayaan yang mereka mampu bersaing di peringkat dunia.

“Saya ingin menetapkan rekod baharu dalam kelompok lapan terakhir atau lebih baik,” kata Moriyasu.

Beberapa hari lepas, Jepun menjadi bualan peminat bola sepak dunia apabila gol kemenangan ke atas Sepanyol yang jaringkan oleh Ao Tanaka didakwa tidak sah kerana bola tersebut dikatakan telah terkeluar daripada garisan.

Namun begitu, pengadil menjelaskan jaringan tersebut adalah sah berdasarkan penelitian melalui video rakaman (VAR).

Ramai juga peminat menganggap keputusan pengadil adalah tepat. Jepun layak dihadiahkan gol tersebut.

“Terima kasih kepada semua penyokong kami, rakyat Jepun, di atas sokongan mereka sehingga kami mampu mengharungi perlawanan sukar ini.

“Saya gembira dapat membawakan kemenangan ini kepada semua orang dan menghasilkan keputusan yang menggembirakan,” katanya