Kemenangan Jepun dengan skor 2-1 ke atas Jerman membuatkan ‘saham’ Blue Lock meningkat naik di media sosial.

Baca Juga:

Takumi Asano dalam keadaan terkepung, dia berdepan dengan pemain bersaiz gergasi di sekelilingnya.

Ketika dia melihat ke kiri, dia tidak dapat melihat opsyen untuk menghantar bola. Dan akhirnya dia memutuskan untuk merembat sahaja. Detik itu berakhir dengan gol yang akan membuatkan namanya dikenang selama lamanya.

Apa yang dilakukan Asano itu dikaitkan dengan falsafah Jipanchi Ego dalam manga Blue Lock, di mana dia mahukan penyerang yang ada ego untuk berani bertindak.

Peminat Jepun mulai mengaitkan detik itu dengan Manga bola sepak mereka, Captain Tsubasa dan juga yang sedang popular ketika ini Blue Lock. Mereka menganggap imaginasi penulis manga itu sedang berlaku di alam nyata.

https://twitter.com/shonenleaks/status/1595467194565300224

Pada hari ini, kemenangan Jepun membuatkan manga Blue Lock menjadi trending di seluruh dunia. Manga tersebut ciptaa Yusuke Nomura.

Selain itu pengaruh Blue Lock pada jersi Jepun itu sendiri membuatkan manga itu berhak menikmati kemahsyuran pada kali ini.

Di mana plotnya berdasarkan kisah revolusi semula bola sepak Jepun selepas kalah di tangan Belgium. Seorang jurulatih baharu menggunakan pendekatan seperti dalam penjara untuk melatih pemain pemain yang berjiwa besar.

Tidak lama selepas kemenangan Jepun, Manga Blue Lock menulis: “Hebat! Ego!”

Blue Lock memang dekat dengan pasukan Jepun pada kali ini. Pada Ogos tahun ini, Jepun mengumumkan kolaborasi dengan Blue Lock untuk rekaan jersi yang akan digunakan pada Piala Dunia 2022.

Jersi kali ini adalah sentuhan daripada pelukis manga Yusuke Nomura dan Tsujitomo.

Ada satu kata kata daripada jurulatih Blue Lock, Jinpachi Ego berbunyi: “Tugas saya adalah untuk membentuk pasukan Jepun yang boleh memenangi Piala Dunia.”

“Saya akan meletakkan syarat mudah, Jepun hanya perlukan satu perkara ini untuk menjadi kuasa bola sepak terkuat. Itu adalah dengan mencipta penyerang revolusi.”

“Daripada 300 pemain yang berkumpul di sini hari ini, saya akan membentuk penyerang terbaik di dunia dengan projek khas.”

“Mereka semua adalah penyerang revolusi. Egoisme luar biasa pada mereka adalah perkara yang Jepun hilang dalam bola sepak. Kamu tak akan pernah menjadi penyerang terbaik di dunia, kecuali kamu ada ego yang diperlukan. Tugas saya di sini adalah untuk membentuk pemain seperti itu di Jepun.”

Seterusnya satu lagi manga yang sentiasa menjadi bualan setiap kali musim bola sepak di Jepun ialah klasik malar segar, Captain Tsubasa.

Manga yang dihasilkan pada 1981 dan dianimasikan pada 1983, ianya ditayangkan di seluruh dunia selepas itu.

Fernando Torres antara legenda yang mengakui dia mulai bermain bola sepak kerana pengaruh Captain Tsubasa. Ramai lagi pemain di seluruh dunia menjadi peminat manga Captain Tsubasa termasuk Zinedine Zidane dan Ronaldinho.

Hidetoshi Nakata merupakan pemain Jepun pertama yang bermain di liga utama Eropah, juga menyatakan bahawa dia seringkali cuba meniru gerakan yang dilakukan Tsubasa.

Captain Tsubasa merupakan kisah budak sekolah yang mengimpikan untuk memenangi Piala Dunia bersama dengan Jepun.

Paling menarik dalam anime tersebut terdapat episod di mana Jepun menang 2-1 ke atas Jerman.

Ada yang mengingatkan bahawa kali terakhir Jepun menang lawan Jerman adalah pada era Tsubasa Ozora dan Kojiro Hyuga berdepan dengan Schneider dan Deuter Muller.

Kali ini mereka benar benar melakukannya di alam nyata.