Johor Darul Ta’zim (JDT) sukar digugat apabila konsisten mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Sabah 5-1 dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Likas.
Baca Juga:
- Laris! Tiket Aksi Sabah Menentang JDT Habis Dijual
- Sabah Lancarkan Jersi Ketiga, Kolaborasi Bersama Jenama ‘Streetwear’ Terkenal Tanah Air
- FAM Tolak Rayuan JDT Kurangkan Denda Pembakaran Suar
- Pukul Teman Wanita, Pemain Sabah Ditahan Polis
Biarpun turun tanpa kelibat penjaring terbanyak Liga Super, Fernando Forestieri namun ia langsung tidak jejaskan jentera serangan skuad Harimau Selatan yang masih memiliki dua penyerang berkualiti iaitu Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes.
Bagaimanapun, Sabah terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 12 menerusi percubaan Jafri Chew dari luar kotak penalti sehingga menceriakan lebih 20,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap penjuru stadium.
Namun begitu, jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila JDT kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Juan Muniz dalam kawasan kotak penalti pada minit ke 16.
Ini adalah jaringan keenam Juan Muniz dalam saingan Liga Super musim ini dan kebanyakan jaringan beliau adalah menerusi rembatan dari luar kotak penalti.
Beberapa minit kemudian, pengadil memberikan sepakan penalti kepada JDT selepas kapten Sabah, Rawilson Batuil didakwa mengasari Juan Muniz.
Pada minit ke 25, Bergson menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua JDT sekaligus mendiamkan sorakan ribuan penyokong tuan rumah. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, JDT tetap garang memulakan permainan sehingga memberi tekanan kepada benteng pertahanan Sabah.
Hiberty Fernandes menambah satu lagi gol menerusi larian solonya lalu disudahkan dengan rembatan leret yang mudah menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim pada minit ke 48.
Sabah cuba bangkit namun mereka jelas tiada idea untuk menembusi benteng pertahanan JDT yang dikawal oleh gandingan Jordi Amat dan Feroz Baharudin.
Bergson kembali menghukum kelekaan benteng pertahanan Sabah apabila menjaringkan dua gol pada minit ke 61 dan 72 sekaligus melengkapkan jaringan hatrik.
HAT-TRICK! 🔥💪🏻#SABvJDT#LigaSuper2023#WhatCanYouDo#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/71AgKwiRFb
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 9, 2023
Ia juga merupakan jaringan ke 14 beliau dalam saingan Liga Super 2023 dan masih kekal di tangga ketiga senarai penjaring terbanyak dibelakang Fernando Forestieri (17 gol) dan pemain import Selangor, Ayron Del Valle (16 gol).
Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan kemenangan ini mengukuhkan kedudukan JDT di tangga teratas Liga Super dengan 57 mata tanpa kalah selepas mengharungi 19 perlawanan.