Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan harga tiket bagi peminat yang ingin menyaksikan perlawanan amal JDT All Stars (JDT TMJ vs JDT Rest of the World) yang akan diadakan di Stadium Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 30 Jun ini.
Tiket akan dijual pada harga RM50 (Grandstad), RM30 (Pintu C) dan RM20 (Pintu A dan B) dimana peminat yang hadir pada perlawanan antara JDT menentang Selangor pada Rabu berpeluang untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan barisan bintang dunia beraksi. Lebih menarik, akan ada cabutan bertuah dimana JDT menawarkan beberapa hadiah menarik seperti dua buah motosikal.
Antara barisan pemain bintang yang akan terlibat dalam perlawanan amal itu nanti ialah Ronaldo, Claudio Caniggia, Robert Pires, Edgar Davids, Rivaldo, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, Bebeto, Esteban Cambiasso, Claude Makelele, Florent Malouda dan beberapa pemain JDT seperti Aidil Zafuan, La’Vere Corbin-Ong, Muricio serta tidak ketinggalan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pemain bintang yang terlibat akan mengadakan klinik kejurulatihan bersama pelatih di Akademi JDT di Padang Seri Gelam dan akan mengadakan sesi bertemu peminat pada 1 Julai.
“Satu lagi inisiatif yang cemerlang oleh TMJ untuk membawa pemain berkelas dunia beraksi di Larkin. Acara tersebut merupakan satu peluang keemasan untuk peminat bagi menyaksikan sendiri legenda bola sepak dunia bermain dan juga kepada pemain muda di akademi kami mendapat ilmu dan juga tips ketika sesi klinik kejurulatihan,” kata Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.
“Saya berpendapat acara tersebut akan berjalan dengan lancar dan kami turut teruja kutipan yang diraih akan disumbangkan kepada badan-badan yang telah banyak berjasa.
Edwards menghadiri sidang media disamping Setiausaha Agung Johor FA, Kapten Mohd Anizam dan Pengarah Yayasan Kanser Johor, Dato’ Haji Ismail bin Karim.