Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir mendakap kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas pencabar terdekat, Pahang tewas ketika berdepan pasukan Selangor di Stadium Shah Alam semalam.

Pasukan bimbingan Luciano Figueroa itu akan bertandang ke Stadium Hang Jebat bagi menghadapi pasukan Melaka United pada malam ini. JDT ketika ini mempunyai kelebihan 13 mata ke atas pasukan Pahang dalam carta Liga dan mereka mempunyai peluang cerah untuk memenangi Liga Super musim ini dengan lebih awal.

Pada perlawanan di Shah Alam semalam, ketua jurulatih Pahang, Dollah Saleh menurunkan pemain simpanan dalam kesebelasan utama pasukan. Pemain seperti Dickson Nwakaeme, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha dan Nor Azam Azih direhatkan bagi memberikan laluan kepada pemain muda seperti Zuhair Aizat, R.Dinesh dan R.Kogileswaran.

Pahang
Sumber Gambar: Pahang FA

Keputusan Dollah menurunkan pemain simpanan merupakan indikasi jelas bahawa beliau mahu skuad Tok Gajah untuk memberikan fokus kepada saingan Piala FA dan tidak mahu berdepan risiko kehilangan bekalan yang dimiliki. Pahang mempunyai kelebihan selesa dimana mereka berjaya menewaskan Perak dengan keputusan 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu.

Sekiranya JDT meraih tiga mata penuh malam ini, maka mereka akan berada 16 mata dihadapan Pahang sekaligus menjadi juara Liga Super untuk enam musim berturut-turut. Meskipun Pahang mempunyai satu perlawanan yang belum diharungi, namun kutipan mata yang bakal diperoleh tidak mampu untuk mengejar JDT, walaupun Pahang memenangi baki perlawanan mereka.