Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul sebagai kelab paling bernilai di rantau Asia Tenggara setelah mencapai beberapa kejayaan musim ini.

Menurut senarai yang dikeluarkan oleh laman Asean Football, JDT menduduki carta pertama dengan penilaian €9.93 Juta atau sekitar RM50 Juta.

Skuad bimbingan Esteban Solari itu jauh meninggalkan satu lagi kelab gergasi di rantau Asean, Buriram United yang menduduki tempat kedua dengan penilaian €8.90 Juta atau sekitar RM44 Juta.

Selain JDT, Liga Malaysia turut mempunyai satu lagi wakil dalam senarai 10 kelab paling bernilai di Asean iaitu Selangor dimana pasukan itu menduduki tangga ke-7 dengan nilai €5.63 Juta atau sekitar RM 27 Juta.

Antara faktor JDT menduduki tangga pertama ialah kemudahan serta fasiliti yang dimiliki pasukan itu yang mana dianggap terbaik di rantau ini.

Selain itu, kejayaan skuad Harimau Selatan memenangi Piala FA dan baru-baru ini memenangi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut turut menjadi faktor tambahan kelab itu berada di tangga teratas.

Pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan bahawa pasukannya akan tampil lebih kuat dalam saingan Liga Malaysia tahun hadapan.

Kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super baru-baru ini seolah memberi inspirasi baharu bagi TMJ dimana beliau berpendapat tahun hadapan JDT akan menjadi pasukan yang lebih baik berbanding tahun ini.

Kelab lain yang berada dalam senarai ialah BG Pathum United, Lion City Sailors, Port FC, Bangkok United, Persib Bandung, Hanoi FC dan Hanoi Police FC.