Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan turun berdepan Shandong Luneng di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada esok tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan dan keletihan.

Perkara ini disahkan oleh pengurus pasukan, Luciano Figueroa menerusi satu pengumuman di laman media sosial rasmi pasukan, JOHOR Southern Tigers. Menurut Lucho, kecederaan dan keletihan yang menimpa pemainnya berpunca daripada jadual padat yang dihadapi oleh pasukan itu pada bulan April.

Ketiadaan beberapa tonggak utama pasukan bermakna Lucho akan menggunakan pemain yang sebelum ini memanaskan bangku simpanan untuk mengekang kemaraan Roger Guedes dan dua pemain tinggi lampai Shandong iaitu Graziano Pelle dan Marouane Fellaini.

Akhyar Rashid JDT
Sumber Gambar: Goal.com

Pemain seperti Akhyar Rashid dijangka mengisi posisi sayap kiri pasukan. Syazwan Andik akan mengambil alih tempat La’Vere Corbin-Ong di posisi pertahanan kiri. Adam Nor Azlin akan mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Aidil Zafuan atau Mauricio dan Symaer Kutty Abba akan mengisi bahagian tengah pasukan.

Johor Darul Ta’zim kini menduduki tangga tercorot kumpulan E dengan kutipan satu mata setelah menempuh tiga perlawanan. JDT wajib menang jika mereka mahu menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.