Seperti dijangka ayam tambatan Selangor, Mohamad Faisal Abdul Halim terpaksa menelan kepahitan digantung selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perkembangan tersebut disahkan oleh badan induk bola sepak tanah air itu menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Noor Azman Hj Rahman.

Hukuman itu dijatuhkan kepada Faisal kerana beliau didapati bersalah dalam melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media).

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pemain berusia 25 tahun itu ketika sesi temu ramah media sebaik sahaja pasukannya tewas ditangan Sabah pada 27 April 2023 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Antara kenyataannya yang dikeluarkan oleh Faisal Halim adalah berbunyi: “Kami bekerja keras, kami usaha dan pasukan Selangor sudah cuba yang terbaik. Saya kecewa dengan cara kami kalah, semua orang tahu setiap tahun benda sama berulang.

“Saya tak boleh cakap secara terus, saya hanya pemain biasa. Saya tak ada duit nak bayar denda dan saya tak nak kena gantung. Saya jujur dan ikhlas dengan kerja saya, begitu juga saya nak pihak lain yang terbabit ikhlas menjalankan tanggungjawab.

“Kami tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor. Tetapi ini bola sepak, kami perlu perlawanan yang adil dan jujur,” ujar beliau menurut sumber petikan kenyataannya di Berita Harian.

Mengulas mengenai hukuman tersebut, Noor Azman turut mendedahkan bahawa Faisal sepatutnya dihukum selama empat bulan tetapi terdapat sedikit kelonggaran diberikan keatasnya.

“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023. Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.”

“Untuk makluman semua, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan salah satu Badan Kehakiman FAM iaitu sebuah badan bebas yang terdiri daripada antara lain individu-individu berlatarbelakangkan profesion pengamal undang-undang sebagai ahli-ahli jawatankuasanya.”

“Walau bagaimanapun, Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM.”

“Pada kesempatan ini juga, FAM ingin menasihatkan kepada pemain-pemain bola sepak yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memberikan kenyataan media dan mengambil pengajaran daripada kes ini,” tambah Noor Azman lagi.