Mexico yang mengejutkan juara bertahan Piala Dunia, Jerman dalam perlawanan pertama, meneruskan momentum kemenangan dalam perlawanan kedua selepas berjaya menundukkan Korea Selatan 2-1.

2 gol Mexico telah dijaringkan oleh Carlos Vela melalui sepakan penalti dan gol kedua adalah dari Javier ‘Chicharito’ Hernandez.

Mexico Javier Hernandez

Berikut adalah fakta-fakta menarik mengenai Chicharito dan juga pasukan Mexico.

Berkongsi Kedudukan Sebagai Penjaring Terbanyak Mexico Di Piala Dunia

Jaringan kedua Mexico oleh Chicharito itu merupakan gol ke 4 beliau sepanjang beraksi di pentas Piala Dunia.

Dengan jumlah itu, Chicharito menyertai penyerang tersohor Mexico, Luis Hernandez sebagai pemain Mexico paling banyak menjaringkan gol dalam kejohanan Piala Dunia.

Chicharito menjaringkan 2 gol dalam Piala Dunia edisi 2010 di Afrika Selatan ketika Mexico menewaskan Perancis 2-0 (1 gol) dan semasa tumbang 1-3 ditangan Argentina (1 gol).

Gol ke 3 pula hadir dalam edisi 2014 di Brazil ketika Mexico menumbangkan Croatia 3-1 untuk layak ke pusingan kalah mati.

 

Pemain Pertama Mexico Menjaringkan 50 Gol Di Peringkat Antarabangsa

Sumbangan 1 gol ketika bertemu Korea Selatan itu juga membolehkan Chicharito melebarkan rekod beliau sebagai penjaring gol antarabangsa paling banyak untuk Mexico.

Rekod ketika ini dipegang oleh Chicharito dengan jumlah 50 gol dan beliau satu-satunya pemain Mexico yang pernah mencapai angka jaringan sebanyak itu.

Chicharito sebelum ini berjaya merampas kedudukan sebagai penjaring gol terbanyak Mexico sepanjang zaman dari Jared Borgetti semasa Mexico tewas kepada Croatia 1-2 dalam satu perlawanan persahabatan pada 27 Mei 2017.

Jared Borgetti telah menyumbangkan 46 gol antarabangsa untuk Mexico sebelum dipecahkan oleh Javier ‘Chicharito’ Hernandez.

Hirving Lozano Ulangi Rekod Ricardo Peláez

Pemain kelab PSV, Hirving Lozano telah berjaya mengulangi rekod yang dibuat oleh Ricardo Peláez – 1 gol dan 1 bantuan gol dalam 2 perlawanan pertamanya dipentas Piala Dunia.

Ricardo Peláez menjaringkan gol dalam pertemuan dengan Korea Selatan dan bantuan gol ketika menentang Belanda pada edisi 1998 di Perancis.

Pemain berusia 22 tahun ini adalah pemain pertama melakukannya sejak Ricardo Peláez, 20 tahun yang lalu.

 

Mexico Menang 2 Perlawanan Pertama Sejak Piala Dunia Edisi 2002

2 kemenangan dalam Piala Dunia Russia 2018 ini, kali terkahir berjaya dibuat oleh Mexico kira-kira 16 tahun lalu dalam Piala Dunia edisi 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.

Pada ketika itu, mereka berjaya menewaskan Croatia 1-0 (Denka Big Swan Stadium) dalam perlawanan pertama dan menang 2-1 keatas Ecuador (Miyagi Stadium) dalam perlawanan kedua.