Prestasi cemerlang penyerang negara, Syafiq Ahmad diteruskan dalam saingan Piala Malaysia apabila beliau membantu Juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat di suku akhir selepas menewaskan Petaling Jaya City (PJ City), 3-2 dalam perlawanan kelima di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila PJ City terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke 10 menerusi rembatan Bae Beom-geun yang mudah menewaskan penjaga gol skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT terus mengandakan asakan dan memperkemaskan corak permainan kerana mereka sedar skuad kendalian K. Devan itu bukanlah lawan yang mudah untuk ditewaskan.

Pada minit ke 24, stadium kembali bergegar dengan sorakan penyokong pelawat apabila Safawi Rasid menyempurnakan sepakan percuma yang cantik untuk memastikan kedudukan berubah kepada 1-1.

Jaringan tersebut membangkitkan semangat pemain skuad Harimau Selatan untuk terus memburu jaringan kedua.

Usaha mereka membuahkan hasil, apabila penyerang skuad Harimau Malaya, Syafiq Ahmad melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti setelah menerima hantaran daripada Leandor Velzquez pada minit ke-36. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan JDT terus mengatur serangan ke kubu lawan malah hampir menjarakkan kedudukan menerusi Afiq Fazail pada minit ke-50 namun lambungan bolanya tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada PJ City.

Melihat JDT terlalu leka mengatur serangan menyebabkan bahagian pertahanan sedikit longgar sekali gus memberi peluang PJ City menyamakan kedudukan menerusi tandukan Washington Dos Santos hasil hantaran Beom Geun pada minit ke-58.

Namun, kegembiraan PJ City tidak bertahan lama apabila Syafiq sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan menanduk gol ketiga pelawat selang dua minit kemudian untuk kedudukan 3-2.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menyaksikan JDT kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan 13 mata manakala PJ City pula ditempat kedua dengan 9 mata.

Prestasi Syafiq Ahmad kini semakin meningkat selepas menjaringkan dua gol ketika bersama skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/2023 baru-baru ini.

Syafiq Ahmad: Fasiliti JDT Bantu Kembali Dari Kecederaan, Beri Sumbangan Berharga Untuk Pasukan Kebangsaan

Persaingan Shahrel Fikri Dan Syafiq Ahmad Beri Impak Positif