Berjaya menjaringkan gol pada penampilan sulung ibarat satu impian yang menjadi kenyataan buat pemain terbaharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick Dos Santos.
Dia yang mengambil tempat Afiq Fazail di posisi tengah untuk berada dalam kesebelasan utama, berjaya menyempurnakan umpanan dari Fernando Forestieri dengan tandukan menarik pada minit-52.
Namun, pemain naturalisasi terbaharu negara itu tidak mahu mendabik dada kerana apa yang paling penting ialah kejayaan meraih tiga mata pertama di laman lawan.
" Sudah tentu saya sangat gembira kerana dapat menjaringkan gol tetapi secara keseluruhan, persembahan pasukan sangat baik untuk hari ini.
" Untuk diri sendiri, saya sangat berpuas hati kerana dapat membantu dengan jaringan pada perlawanan pertama bersama pasukan dan dapat membawa pulang tiga mata ke Johor.
" Apabila berjaya menjaringkan gol, sudah tentu sedikit sebanyak menambah keyakinan saya sebagai pemain dan rasa sangat teruja kerana sentiasa dibantu pemain-pemain yang hebat dalam skuad ini.
" Walaupun padang mungkin agak licin, kami tetap berjaya melaksanakan apa jua arahan yang diberikan jurulatih bagi menewaskan KL City," katanya.
Selain Endrick, dua lagi gol JDT terhasil melalui jaringan sendiri Romel Morales pada minit 41 dan Arif Aiman Hanapi, minit 90 untuk memberikan kemenangan mutlak 3-0.
Kemenangan kali kedua berturut-turut JDT itu meletakkan skuad kendalian Esteban Solari itu berada di tangga kedua belakang Sabah, hanya dipisahkan melalui perbezaan jaringan.