Jaringan pada lewat permainan yang dihasilkan Kpah Sherman cukup bermakna buat Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi mengikat Penang FC 1-1 pada aksi ketiga Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Beraksi di permukaan padang ditakungi air berikutan hujan lebat di sebelah petang sedikit merencatkan corak permainan kedua-dua pasukan terutamanya buat Penang yang cukup terkenal dengan corak permainan hantaran pendek.
Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk para pemain tidak menjelmakan aksi terbaik mereka pada aksi yang digelar ‘Derbi Utara’ ini apabila Tchetche Kipre memiliki peluang seawal minit ketiga perlawanan.
Beliau yang mendapat umpanan menarik dari jarak jauh daripada rakan sepasukannya melakukan larian pantas ke dalam kawasan penalti Penang tetapi rembatannya berjaya dihalang Quentin Cheng bagi menyelamatkan keadaan.
Memasuki minit ke-10, Casagrande Anselmo Da Silva mendapat peluang keemasan selepas beliau menerima hantaran lintang daripada Al-Hafiz Harun. Tetapi, tandukannya terus sahaja ke dakapan penjaga gol KDA, Shahri Sa’ari.
Kehampaan itu ditebus Penang seminit kemudian setelah ketua pasukan, Endrick Dos Santos yang langsung tidak dikawal pemain pertahanan KDA dalam kawasan penalti dengan mudah menolak masuk bola susulan daripada percubaan awal Casagrande ditepis Shahril.
Tersentak dengan jaringan tersebut, KDA cuba untuk bangkit dengan beberapa gerakan bahaya dilancarkan ke kubu Penang yang dikawal Samuel Somerville tetapi kekentalan jentera pertahanan dan ketangkasan Somerville menggagalkan usaha tersebut.
Bagaikan mendapat tonik berguna ketika rehat separuh masa pertama, pemain KDA memberikan tekanan hebat buat pasukan tuan rumah dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi pemain gantian Rozaimi Abdul Rahman.
Rozaimi yang mendapat lorongan baik daripada Rabih Ataya melepaskan rembatan padu tetapi Somerville lebih pantas keluar daripada posisinya untuk menutup ruang sekali gus menafikan percubaan tersebut.
Kemasukan Mohammad Fayyadh Zulkifli dan Azamuddin Akil juga memperlihatkan perubahan di jentera tengah bagi menambahkan kreativiti dalam memburu jaringan.
Penantian KDA akhirnya menjelma juga pada minit ke-86 berpunca daripada hantaran lintang Azamuddin mencari Kpah Sherman berjaya disudahkan dengan baik penyerang kelahiran Liberia itu untuk melakukan kuisan yang kemudiannya menewaskan Somerville.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral pemain KDA untuk menambah jaringan, namun tiupan wisel penamat daripada pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.