Bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp yakin bahawa The Reds mampu menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kalangan empat pasukan terbaik.
Selepas mempamerkan aksi buruk sebaik sahaja memasuki tahun 2023, Liverpool menunjukkan sedikit peningkatan apabila mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri pada tiga aksi ter\
Selepas mengharungi 23 perlawanan, Liverpool berada di tangga ketujuh dengan 36 mata hasil 10 kemenangan, enam keputusan seri dan tujuh kekalahan.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu ketinggalan sembilan mata dibelakang Tottenham Hotspur yang kini menghuni tempat keempat.
Sehubungan dengan itu, Redknapp yang beraksi bersama Liverpool sejak 1991 hingga penghujung 2001 percaya kelab tersebut masih mampu berada di kelompok empat pasukan teratas meskipun kelihatan goyah pada ketika ini.
“Saya fikir, dengan keadaan Liverpool sekarang, itulah prestasi [bertahan dengan baik bertemu Crystal Palace] yang saya harapkan daripada mereka. Mereka rapuh, keyakinan mereka sangat rendah, mereka tidak bermain dengan bebas.”
“Tidak dibolosi merupakan tambahan berguna kerana apabila anda dibolosi lima gol pada pertengahan minggu lalu, anda jelas perlu berusaha. Tetapi ia merupakan masa yang cukup sukar buat mereka pada ketika ini.”
“Apabila anda mengenal pasti perlawanan sebagai pemain Liverpool, merekalah yang boleh menentukan nasib mereka pada musim ini, terutamanya apabila anda berada dalam situasi di mana anda agak rapuh.”
“Segala-galanya boleh berubah jika mereka menang pada 5 Mac (menentang Manchester United) dan menang pada pertengahan minggu. Secara tiba-tiba, kedudukan empat teratas menjadi cita-cita realistik, yang saya fikir mereka masih boleh untuk melakukannya,” ujar Redknapp menurut sumber Sky Sports.