Bekas pemain Tottenham Hotspur yang kini bergelar ‘pundit’ di talkSPORT, Jamie O’Hara menyifatkan Liverpool tidak ubah seperti pasukan dalam saingan EFL Championship selepas kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan.

Baca Juga:

Beraksi menentang Nottingham Forest di gelanggang lawan tanpa kehadiran Diogo Jota, Darwin Nunez, Luis Diaz, Thiago Alcantara, Joel Matip dan Ibrahima Konate, Liverpool terpaksa menelan kepahitan tunduk 0-1 hasil jaringan bekas pemain mereka, Taiwo Micheal Awoniyi.

Ia merupakan kekalahan ketiga Liverpool pada musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 yang menyaksikan Reds pada ketika ini menghuni tangga kelapan dengan 16 mata, ketinggalan 12 mata dibelakang pendahulu liga, Arsenal.

Satu keadaan yang menunjukkan Jurgen Klopp jelas tidak memiliki ‘squad depth’ terbaik untuk menangani masalah kecederaan dihadapi.

“Mereka tidak cukup baik,” ujar O’Hara menurut kenyataannya di rancangan radio sukan talkSPORT.

“Mereka bermain 4-4-2! Bahagian tengah mereka ialah [Fabio] Carvalho, di sebelah kiri Curtis Jones, Fabinho bermain di tengah dan Harvey Elliot di sebelah kanan. Mereka mempunyai [Mohamed] Salah dan Firmino di hadapan.”

“Saya melihatnya sambil berfikir ‘apa yang sedang berlaku di sini?. James Milner di pertahanan kanan, Joe Gomez di pertahanan tengah, baiklah dia bermain dengan baik baru-baru ini tetapi dia mengalami kejutan. Saya fikir ‘ini tidak boleh menjadi kesebelasan utama terbaik Liverpool?.”

“Sekarang saya tahu mereka telah mengalami masalah kecederaan, saya tahu mengenai perkara tersebut. Tetapi ini adalah pasukan, satu skuad, yang bersaing hebat dengan Manchester City selama tiga atau empat tahun kebelakangan ini.”

“Sekarang saya berfikir bahawa ‘baiklah pasukan anda mengalami beberapa kecederaan dan anda kelihatan seperti pasukan di EFL Championship’,” tambah O’Hara lagi.

Dengan masalah kecederaan yang kian membelenggu, Liverpool terpaksa menghadapi empat perlawanan dalam tempoh dua minggu dimana ia melibatkan dua aksi EPL bertemu Leeds United dan Tottenham Hotspur.

Manakala, dua lagi perlawanan perlu dilalui oleh anak buah Jurgen Klopp itu dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Ajax dan SS Napoli.

 

Sumber