Ketiadaan tonggak utama, Matthew Davies yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT)  memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Dollah Salleh ketika saingan Liga Super hanya berbaki dua minggu lagi untuk dibuka tirainya.

Sepanjang bersama Pahang, Davies yang juga kapten pasukan bermula pada 2016, pernah membantu Tok Gajah muncul sebagai juara Piala FA 2018. Prestasi mantap yang dipersembahkan pemain berumur 25 tahun itu menyaksikan khidmatnya ditagih skuad bawah 23 tahun negara dan Harimau Malaya.

Mengulas mengenai pemergian pemain itu, bekas pemain Pahang dan skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir mahu semua penyokong tok gajah menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

Bercakap dalam Berita Harian, beliau yakin dengan kemampuan Dollah Salleh dan pembantunya, Ahmad Yusof membentuk pemain muda yang lebih berkualiti untuk beraksi di posisi pertahanan kanan Pahang.

“Saya yakin kepakaran dan pengalaman luas yang ada pada jurulatih Dollah Salleh dan pembantunya Ahmad Yusof dapat membentuk kelibat pemain muda berkualiti bagi mengisi posisi pertahanan kanan yang ditinggalkan Davies.

“Saya berharap peminat setia Tok Gajah bersabar dan memberi peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kebolehan, dalam masa sebulan hingga dua bulan pasukan Pahang pasti memiliki pengganti Davies,” katanya.

Matthew Davies
Aksi Matt Davies ketika bersama skuad Tok gajah. FOTO: Pahang FA

JDT menandatangani Davies bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Azrif Nasrulhaq yang mengalami kecederaan serius ketika jejalah pra musim di Dubai dan menggantikan tempat S.Kunanlan yang semakin berusia.

Kunanlan juga mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan pada perlawanan AFC Champions League (ACL) 2020 menentang Vissel Kobe minggu lalu yang menyaksikan JDT tewas dengan keputusan 5-1.

Jamal Nasir turut memuji proses perpindahan Davies yang berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi seperti sebelum ini.

“Davies seorang pemain profesional dan dia berhak membuat keputusan demi masa depannya dalam kerjaya bola sepak, tidak ada istilah tidak setia dan inginkan pendapatan lebih.

“Saya lihat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga profesional dalam kes perpindahan pemain berkenaan, semua berjalan lancar berlandaskan peraturan,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Pahang melalui pautan dibawah.

Pemain Pertahanan Juara AFC Cup 2019, Khalil Khamis Sertai Pasukan Pahang FA Musim 2020

Tunggakan Gaji: Patrick Cruz Ugut Heret Pahang FA Ke FIFA

Pahang Tangguhkan Perancangan Adakan Aksi Pra Musim Di Luar Negara