Penyerang sensasi Brentford, Ivan Toney sedang menikmati musim terbaiknya di atas padang dan kini dia menjalani penggantungan kerana kesalahan perjudian.
Ivan Toney berdepan 262 pertuduhan selepas tambahan 30 lagi pertuduhan baharu. Namun hanya 232 sahaja yang disahkan. Dengan selebihnya digugurkan.
Toney mengaku melakukan kesemua 232 pelanggaran perjudian atas talian melibatkan pertaruhan sukan itu.
Ianya adalah kesalahan serius dalam perundangan FA England yang melarang mana mana pemain terlibat dalam pertaruhan terutama sekali bola sepak.
Toney jalani penggantungan
Toney melakukan kesalahan itu dari tahun 2017 sehingga 2021. Oleh sebab itu Toney berdepan penggantungan kerana kesalahan perjudian.
Dia turut didenda £50,000 dan amaran agar tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.
FA dalam satu kenyataan berkata: “Ivan Toney telah digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak dan permainan bola sepak berkuat kuasa serta-merta selama lapan bulan.”
“Hukuman ini berlangsung sehingga dan termasuk 16 Januari 2024, didenda £50,000 dan diberi amaran akan kelakuan masa depannya kerana melanggar Peraturan Pertaruhan FA.”
FA tegas isu perjudian
“Penyerang Brentford FC itu didakwa atas 262 pelanggaran Peraturan FA E8 secara keseluruhan antara 25 Februari 2017 dan 23 Januari 2021. FA selepas itu menarik balik 30 daripada pelanggaran ini dan dia mengakui 232 kesalahan itu.”
Dengan berita penggantungan ini bermakna Toney tidak akan beraksi dalam baki perlawanan Brentford musim ini. Ia pasti akan memberikan kesan kepada mereka.
Toney ketika ini berada dalam kedudukan ketiga untuk perebutan kasut emas EPL musim 2022/23. Dia turut mendapat panggilan kebangsaan dan mendapat kaps sulungnya bersama Three Lions pada Mac lalu.