Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu reaksi kepada penjualan dan penebusan tiket kejohanan Piala AFF Suzuki 2018, menyatakan mereka tidak bertanggungjawab terhadap isu yang menjadi luahan ramai penyokong bola sepak ketika ini.

PSM telah memuatnaik satu status di laman sosial Facebook mereka semalam dan memberitahu urusan penjualan dan penebusan tiket bagi AFF Suzuki Cup 2018 di Stadium Nasional, KL Sports City adalah di bawah tanggungjawab pihak Football Association of Malaysia (FAM).

Syarikat yang digunakan oleh FAM untuk pengurusan tiket tersebut bukan merupakan syarikat tiket yang dilantik oleh PSM iaitu Seat Advisor melalui laman web myticket.asia sepertimana kebiasaan bagi acara-acara bertiket lain yang diadakan di KL Sports City.

Kelebihan Sistem Tiket Yang Digunakan Oleh PSM Berbanding FAM

Selain itu, dalam kenyataan tersebut juga PSM telah menyatakan kelebihan sistem yang mereka gunakan berbanding sistem yang digunapakai oleh FAM untuk urusan penjualan dan juga penebusan tiket.

  1. Memudahkan pengguna supaya dapat masuk ke stadium menggunakan imbasan berbanding cara mengoyakkan tiket.
  2. Mempunyai barkod unik bagi mengenalpasti tiket palsu serta penjualan secara haram.
  3. Tidak perlu mencetak tiket atau menebus tiket di kaunter kerana imbasan barkod boleh dibuat melalui pelbagai peranti mudah alih.
  4. Tiket yang dicetak boleh dijual lebih awal kerana kaunter tiket di KL Sports City dibuka setiap hari.

Penggunaan sistem tiket berteknologi tinggi ini telah digunapakai dan disyorkan oleh PSM kepada semua penganjur-penganjur acara semenjak KL Sports City mula beroperasi semula semasa Temasya Sukan SEA 2017. Usaha ini telah mendapat sambutan baik pelbagai penganjur dan pengunjung acara.

Foto: Astro Awani