Bekas ketua jurulatih pasukan Terengganu FC, Irfan Bakti mengharapkan tiada insiden panas berlaku dalam aksi perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Kedah yang akan menentang pasukan Perak malam ini.
Irfan menegaskan beliau mahu pengadil yang didatangkan daripada Jepun mampu untuk menggalas tugas dengan baik sekaligus memastikan kelancaran pentas final bagi edisi kali ini.
“Harap tidak berlaku lagi insiden panas sebagaimana final Piala Malaysia musim lalu, cukuplah hanya perlawanan itu kerana impaknya cukup besar kepada semua,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tambah Irfan, langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membawa pengadil import dilihat satu langkah yang baik dan beliau berharap ketiga-tiga pengadil dapat mengadili perlawanan malam ini dengan baik.
FAM Sahkan Takuto Okabe Dipilih Sebagai Pengadil Perlawanan Akhir Piala FA 2019 https://t.co/nS2eY5WXau
— VOCKET FC (@vocketfc) July 25, 2019
“Pandangan saya pengadil kita pun ada yang berkualiti dan bagus, namun langkah FAM melantik pengadil luar mengadili perlawanan itu adalah satu keputusan yang bijak.
“Apa yang penting pengadil import yang dipilih itu biarlah yang betul-betul berkualiti serta mampu menjalankan tugas dengan berkesan di atas padang selain tahapnya lebih baik.
“Kita tidak boleh menghukum lebih awal kerana perlawanan belum bermula, kita lihat dulu mutu pengadilan pengadil antarabangsa dari Jepun itu,” tambahnya.
Irfan berkata demikian setelah mempunyai pengalaman buruk di pentas final Piala Malaysia musim lalu dimana pengadil yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan antara Terengganu FC menentang Perak, J.Suresh kerap membuat keputusan yang kontroversi selain dianggap gagal untuk mengawal perlawanan.
Baru-baru ini, FAM mengambil keputusan untuk menggantung J.Suresh daripada mengadili mana-mana perlawanan Liga Malaysia.