Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E. Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-23 bermula Rabu, 30 Ogos 2023.

Kem latihan tersebut adalah untuk persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand bermula 6 hingga 12 September 2023.

Elavarasan telah mengekalkan 14 daripada 23 pemain skuad Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada 17 hingga 26 Ogos lalu, antaranya termasuk beberapa muka baharu seperti Hariz Mansor, M. Rakesh, Saiful Jamaluddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Alif Ikmalrizal Anuar.

Sementara baki 11 pemain lain yang dipanggil kali ini terdiri daripada sembilan pemain dari skuad Sukan SEA 2023 yang tidak berada dalam senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023 iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli, Azrin Afiq Rusmini dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.

Daripada 25 pemain tersebut, hanya 23 pemain akan berada dalam senarai akhir apabila skuad Harimau Malaya B-23 berlepas ke Thailand pada 4 September ini.

Bagi saingan Kumpulan H pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 itu, Malaysia akan berdepan Bangladesh pada Rabu, 6 September 2023, Filipina pada Sabtu, 9 September 2023 dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023, dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.

Seterusnya, 16 pasukan terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.