Kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) hari ini mengumumkan ketibaan pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun Patrick Omosouyi sebagai penyerang baharu pasukan itu.

Menurut kenyataan rasmi, KDA FC telah mencapai persetujuan untuk mengikat kontrak bagi baki musim 2023. Pemain berusia 32 tahun ini mempunyai kerakyatan Bahrain dan akan didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan Sang Kenari.

Ifedayo cukup dikenali dalam Liga Malaysia kerana pernah beraksi bersama Felda United, Melaka dan Selangor. Pengalaman yang dimiliki oleh pemain itu menjadi faktor utama dipilih oleh pengurusan KDA FC.

Beliau juga merupakan pemegang Kasut Emas 2 tahun berturut-turut, penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol (12 gol musim 2020, 26 gol musim 2023), sehinggakan di gelar ‘King Dayo’ ketika bersama Selangor FC.

Ifedayo akan menggantikan tempat penyerang import Brazil, Willian Dira yang ditamatkan kontrak walaupun telah meledak 8 gol dalam 14 perlawanan Liga Super musim ini.

“Walaupun ini bukanlah kali pertama beliau menjejak bumi hijau kuning dan pernah menjadi duri dalam daging menghampakan ribuan penyokong hijau kuning dengan ketajaman tandukan dan rembatannya, kali ini memakai jersi hijau kuning untuk memburu kejayaan baru buat pasukan Sang Kenari,” tulis kenyataan rasmi KDA FC.

Dengan rekod 70 gol dalam 73 penampilan bersama 3 pasukan Liga Super sebelum ini iaitu Felda United, Melaka dan Selangor, meletakkan Ifedayo antara penjaring berbahaya dalam sejarah Liga Malaysia.

Debut Ifedayo dijangka paling awal pada aksi bertemu PDRM FC di Stadium MB Petaling Jaya pada 9 Julai ini memandangkan tingkap perpindahan pemain dibuka bagi pendaftaran pemain bermula 5 Julai ini.