Identiti seorang penolong jurulatih yang dilaporkan telah dipukul selepas perlawanan separuh akhir saingan Piala FA 2023 mencetus tanda tanya dikalangan peminat bola sepak tanah air.

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan seorang penolong jurulatih pasukan terkenal tanah air dipukul sebaik tamat perlawanan membabitkan dua pasukan gergasi bola sepak tanah air.

Menurut laporan Harian Metro, individu yang memukul penolong jurulatih terbabit adalah bekas pemain sebuah pasukan yang pernah berpangkalan di Pantai Timur dan Selatan tanah air selain enam kali mewakili skuad kebangsaan.

“Penolong jurulatih berbangsa asing itu dipukul berikutan dikatakan terdapat salah faham membabitkan kedua-dua individu itu. Namun, insiden terbabit tidak dihebohkan kepada umum.

“Difahamkan, penolong jurulatih itu sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut. Setakat ini, tiada kecederaan serius dialami beliau,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki membuat laporan polis apabila mendakwa telah dipukul oleh anggota tentera semasa menonton perlawanan akhir Piala FA 2023 antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim, bulan lalu.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin yang berkata, lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi di Kuala Lumpur, pada 11.50 pagi hari esoknya.

“Mangsa mengesyaki telah dipukul oleh Johor Military Force (JMF). Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan serta telah ditahan di wad Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang merbahaya) jika sabit bersalah. Boleh dihukum penjara sampai 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

“Kes dalam siasatan, orang ramai yang melihat kejadian dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan,” katanya.