Malaysia Football League (MFL) hari ini mengumumkan badan bebas, “First Instance Body” (FIB) telah membuat keputusan tarik balik sekatan perpindahan pemain Kelantan FC pada jendela kedua  bermula hari ini.

FIB mengambil maklum dan telah menerima segala dokumen yang diperlukan untuk menarik balik perintah sekatan perpindahan pemain jendela kedua.

Namun begitu, penarikan balik sekatan perpindahan pemain ini adalah berbeza dan tidak mempunyai impak ke atas sebarang sekatan perpindahan pemain yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas ini.

Sebelum ini, FAM menarik balik hukuman larangan mendaftarkan pemain baharu ke atas TRW Kelantan.

Ia didedahkan menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman sambil menjelaskan pihak pengurusan telah menerima surat rasmi daripada badan induk bola sepak negara untuk menarik larangan pendaftaran pemain segera.

“Terima kasih FAM,” kata Norizam selepas memuat naik tangkap layar surat terbabit yang menyatakan pembayaran penuh telah diselesaikan kepada pihak pengadu sebelum ini.

Susulan itu, perintah larangan pendaftaran pemain tempatan dan antarabangsa terhadap Kelantan FC telah ditarik semula oleh FAM.

Hukuman itu dijatuhkan susulan kegagalan kelab ini menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan pada 28 Jun 2023 dan 30 Jun 2023.

Ini adalah hukuman berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil FAM ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan aduan kes-kes lain.