Pemain import Selangor (SFC), Yazan Al Arab menjadi bualan para peminat bola sepak tempatan selepas didapati menyepak pengadil utama, Mohd Hasrol Mohd Amir pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu semalam.

Baca Juga:

Tindakan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Jordan itu telah mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada penyokong sekaligus membayangkan hukuman berat sedang menanti pemain tersebut.

Insiden tersebut berlaku selepas wisel penamat ditiup namun Yazan sempat bertelagah dengan pengadil tersebut lalu dilayangkan kad merah. Malah, beliau juga bertindak menyepak pengadil itu sebagai tanda tidak puas hati.

Menurut pemerhati pengadil bebas, Yazan dihukum dengan kad merah kerana berkelakuan ganas apabila menolak dada pengadil. Hukuman menyepak pengadil selepas dilayangkan kad merah akan diputuskan oleh penganjur.

Yazan kemungkinan bakal digantung dalam beberapa perlawanan serta dikenakan denda akibat perbuatannya itu

Beliau bakal disiasat kerana melanggar artikel Artikel 59 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan berdasarkan kes pemain JDT, Natxo Insa.

Natxo pernah dihukum kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan terhadap pengadil Noor Azriel Baharudin apabila menyentuh dada individu berkenaan menggunakan kedua-dua tangannya dalam perlawanan Liga Super.

Malah, FAM dijangka mengenakan tindakan lebih tegas ke atas pemain yang melakukan kekasaran atau sentuhan terhadap pengadil selepas hukuman yang dikenakan dalam kes sebelum ini langsung tidak ‘menggerunkan’ mereka.