Rekrut baharu UiTM FC yang beraksi di jentera pertahanan, Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari mahu kehadirannya kembali bersama kelab tersebut dapat membantu pasukan untuk terus kekal dalam saingan Liga Super.
Institusi pengajian tinggi itu nyata bukanlah asing buat Hisyamudin kerana beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di universiti tersebut, malah UiTM FC juga menjadi batu asasnya buatnya untuk ke saingan Liga Super.
Hal ini kerana selepas aksi cemerlang ditampilkannya bersama UiTM FC sehingga berjaya mewakili negara dalam Kejohanan Sukan Universiti Dunia di Shenzen, pemain kelahiran 33 tahun itu dipikat Perak pada musim 2011.
Kini selepas hampir 11 tahun meninggalkan kelab pertamanya itu, Hisyamudin kembali ke Stadium UiTM, Shah Alam dengan misi cukup berbeza iaitu mahu menyelamatkan UiTM FC daripada tersingkir ke Liga Premier musim hadapan.
“Harapan dan impian saya setelah kembali menyertai UiTM FC adalah untuk membantu pasukan keluar daripada zon penyingkiran sekali gus terus kekal dalam saingan Liga Super 2022.”
“Sebenarnya daripada tahun 2020 saya dah berniat untuk kembali ke UiTM FC tetapi tidak berpeluang kerana pada masa itu ‘coach’ Frank (Bernhard) tidak mahu pemain berumur dan dia lebih gemar menggunakan pemain muda.”
“Alhamdulillah pada musim ini saya diberikan peluang atas sokongan jurulatih tempatan untuk membawa saya masuk menyertai pasukan,” ujar Hisyamudin Shaari bercakap kepada wakil Vocket FC.
Selain Hisyamudin, UiTM turut mendapatkan seorang lagi pemain berpengalaman, Mohd Alif Samsudin selain meminjam khidmat duo Kuala Lumpur, Zamir Selamat dan Sean Gan Giannelli dari KL City.
UiTM yang kini di tangga terakhir Liga Super dengan memungut dua mata juga difahamkan bakal menambah dua lagi tonggak import selepas kehadiran Ousmane Fane dan Kwon Yong Hyun.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Proses Naik Taraf Pusat Latihan Terengganu FC Kini Di Fasa Akhir
Asnan Ahmad Sedar Perlu Bekerja Keras Rebut Tempat Dalam Skuad Kedah