Ketua jurulatih skuad B-23 Tahun Malaysia, E.Elavarasan memberi sebab mengapa skuad kendaliannya tewas kepada Vietnam pada aksi separuh akhir Piala AFF B-23 Tahun semalam.

Baca Juga:

Skuad Harimau Muda tewas dengan keputusan 4-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Wilayah Rayong, Thailand sekaligus gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Selepas perlawanan, Elavarasan menyatakan benteng pertahanan Malaysia yang alpa menjadi punca Vietnam mendapat tiga gol pada separuh masa pertama.

“Saya merasakan pada separuh masa pertama kami tidak beraksi dengan efektif. Cara permainan kami tidak seperti mana yang dirancang.

“Banyak kesilapan yang dilakukan di bahagian pertahanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Meskipun tewas, Elavarasan tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain ketika beraksi di peringkat antarabangsa.

Pada perlawanan semalam, kem negara tersentak seawal minit kelapan selepas hantaran lintang Nguyen Minh Quang di sebelah kiri pintu gol negara mudah ditolak masuk Dimh Xuan Tien.

Kedudukan berubah pada minit ke-32 setelah kesilapan Muhammad Aliff Izwan Yuslan yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri disudahkan dengan baik Quoc Viet menerusi satu percubaan daripada luar kawasan penalti bagi menewaskan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Malaysia kian tertekan pada minit ke-44 apabila Xuan Tien sekali lagi mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Khuat Van Khang.

Jaringan saguhati kem negara hadir pada minit ke-49 menerusi tandukan Alif Ikmalrizal Anuar setelah menerima hantaran lintang daripada Aliff Izwan.

Namun, usaha mereka untuk merapatkan defisit tidak membuahkan hasil dan kesempatan itu diambil Nguyen Hong Phuc pada minit ke-85 untuk menambah jaringan keempat, juga menerusi tolakan mudah hasil hantaran lintang.

Vietnam akan bertemu Indonesia pada perlawanan akhir yang menewaskan Thailand pada satu lagi aksi separuh akhir.