Persatuan Bolasepak Uzbekistan (UFA) dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka telah mengumumkan pengendali dari Argentina, Hector Cuper tidak lagi memegang jawatan ketua jurulatih pasukan tersebut berkuatkuasa sejak semalam.
Cuper yang membimbing pasukan itu sejak Ogos tahun lepas, berjaya membawa Uzbekistan berada dalam kelompok 16 terbaik ketika dalam Kejohanan Piala Asia 2019 di UAE. Bagaimanapun, beliau tidak berjaya mencapai sasaran separuh akhir seperti yang ditetapkan oleh UFA.
O‘zbekiston futbol assotsiatsiyasi Ektor Kuper hamda uning boshchiligidagi murabbiylar shtabiga O‘zbekiston milliy terma jamoasidagi faoliyati uchun minnatdorchilik bildiradi va ularga kelgusi faoliyatida omad tilaydi. https://t.co/MIldezLSG1
— O‘zbekiston FA (@UzbekistanFA) September 23, 2019
Beliau juga merupakan jurulatih pertama yang ditamatkan tugas ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas kekalahan mengejut 0-2 kepada Palestine pada 5 September lepas.
Cuper hadir dengan reputasi hebat pernah membantu Mesir layak pada pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia dan mengetuai kelab La Liga, Valencia dalam penampilan berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2000 dan 2001.
Uzbekistan kini terdesak untuk meraih dua kemenangan ke atas Yemen dan Singapura pada bulan depan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Tempat Cuper akan digantikan oleh Vadim Abramov yang pernah membawa negara itu raih kedudukan ke 4 dalam Piala Asia 2011.
Selain Palestine, Singapura dan Yaman, mereka juga diundi bersama satu lagi pencabar terkuat iaitu Arab Saudi dalam kumpulan D.
Hanya juara kumpulan akan mara ke peringkat seterusnya, sementara empat pasukan terbaik naib juara daripada lapan kumpulan turut berpeluang mara ke peringkat seterusnya. Manakala baki pasukan lain akan bersaing dalam kelayakan Piala Asia 2023.
Tahukah anda, pemain tengah Terengganu FC, Sanjar Shaakhmedov akhirnya dipanggil sertai skuad kebangsaan Uzbekistan minggu lalu.
Sanjar Shaakhmedov Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan Uzbekistan