Penyerang berbisa, Harry Kane dilaporkan tidak berminat untuk menandatangani kontrak besar yang telah diberikan kepadanya oleh Tottenham Hotspur.
Baca Juga:
- Tottenham Tawarkan Pakej Karier Selepas Persaraan Untuk Harry Kane
- Tottenham Hotspur Semakin Tertekan Mahu Kekalkan Harry Kane
- Bayern Munich Hantar Bidaan Kedua Untuk Harry Kane
Seperti dilaporkan sebelum ini, Tottenham dilihat cukup tertekan untuk mengekalkan penyerang tersebut hingga memaksa mereka menawarkan pakej khas terhadap Kane.
Pakej yang dimaksudkan ialah Tottenham Hotspur menawarkan jawatan selepas bersara dengan gaji mingguan yang cukup lumayan bernilai £400,000.
Ini bermakna sekiranya Kane memilih untuk bersara dan menjadi jurulatih, akan ada jawatan jurulatih buatnya di Tottenham.
Satu keadaan yang memberikan gambaran jelas bahawa Tottenham sanggup melakukan apa sahaja asalkan Harry Kane bersetuju untuk kekal bersama kelab tersebut.
Namun, perkembangan terbaharu yang disahkan oleh Goal itu nyata membuatkan Tottenham terus berada dalam tekanan kerana Kane tetap mahu meninggalkan pasukan bagi menyertai Bayern Munich.
Sebelum ini, Tottenham telah menolak sebanyak dua kali percubaan Bayern Munich untuk mendapatkan khidmat Kane yang mana tawaran pertama bernilai £68.5 juta serta kali kedua pula mencecah £100 juta.
Hal ini kerana Tottenham sudah meletakkan tanda harga €120 juta untuk Harry Kane, jika Bayern benar benar berminat dengan penyerang terbaik sepanjang zaman kelab mereka itu.
Keinginan Kane untuk meninggalkan pasukan bukanlah perkara yang mengejutkan kerana Tottenham masih belum mampu menjulang sebarang piala lebih 10 musim bersama The Lilywhites.
Meskipun beliau sudah beraksi 435 perlawanan sepanjang bersama kelab tersebut dan sudah menjaringkan 280 gol serta mencipta 64 bantuan jaringan.