Kapten pasukan kelab Liga M3, Harini FT, Nasir Basharudin percaya mereka tidak boleh melakukan kesilapan dalam baki tiga lagi perlawanan untuk merebut slot ke Piala Malaysia 2023 melihat kepada jurang mata yang dekat dalam kedudukan liga.

Kemenangan Harini FT ke atas Malaysia University dengan keputusan 3-1 pada Sabtu lalu meletakkan Harini FT di takhta liga dengan 23 mata.

Sudah tentu berbaki tiga lagi perlawanan untuk mengesahkan slot ke Piala Malaysia sangat penting buat skuad kendalian P. Maniam bagi memastikan mereka kekal berada sekurang-kurangnya dalam kedudukan dua teratas liga.

Justeru, bekas kapten Perak ini sedar dia dan rakan sepasukan tidak boleh selesa apatah lagi pasukan lawan masih mampu untuk mengejar melihat kepada jumlah mata yang tidak jauh antara mereka.

“Satu perlawanan yang seimbang sebenarnya dan kami memang menerima tentangan hebat daripada Malaysia Univeristy.

“Tetapi pemain semua menunjukkan kesungguhan sehinggalah wisel penamat untuk kami mendapat tiga mata sekarang.

“Pada saya, jumlah mata daripada kedudukan pertama sehingga lima dalam liga memang tidak jauh jadi masing-masing masih ada peluang untuk ke Piala Malaysia.

“Apa-apa pun, saya rasa ini adalah peluang yang baik dari MFL untuk kami di Liga M3 beraksi di Piala Malaysia sebab boleh memberi ruang sekali lagi untuk kita merasa balik bermain di pertandingan itu”, jelasnya.

Terdahulu, undian Piala Malaysia tempoh hari menyaksikan kelab M3 yang menduduki tangga teratas liga bakal berdepan Terengganu FC di pusingan 16 manakala kelab M3 di kedudukan kedua akan menentang Sri Pahang FC.

Bagi Nasir, baik Terengganu atau Sri Pahang, kedua-duanya merupakan pasukan yang cukup baik di Liga Super dan ia akan menjadi perlawanan yang menarik untuk menentang salah satu pasukan tersebut.

“Kita tahu Terengganu dan Pahang adalah pasukan yang besar dan mereka juga di kedudukan yang agak baik dalam liga.

“Memang kita sedar cabaran yang besar untuk lawan pasukan itu tetapi InsyaAllah Harini akan mampu untuk bersaing dengan mereka sekiranya berpeluang”, tambahnya.