Skuad Harimau Malaya kini memasang hasrat untuk mencipta kejutan ke atas pasukan ranking ke-80 dunia, China dalam perlawanan persahabatan tier 1 di Stadium Phoenix Hill, Chengdu malam ini.

Baca Juga:

Keputusan seri 2-2 ke atas Syria kelmarin telah meningkatkan keyakinan pemain berdepan pasukan kuat dan ketua jurulatih, Kim Pan Gon menjangkakan perlawanan bakal berlangsung dengan sengit.

Pan Gon juga mahu pemain meneruskan momentum dan corak serangan agresif seperti ditunjukkan pada separuh masa kedua ketika bangkit menyamakan kedudukan menentang Syria.

“Saya gembira dengan keyakinan pemain dan sikap agresif yang ditunjukkan dalam perlawanan. Saya mahu ini diteruskan ketika berdepan China.

“Saya akan bantu mereka dapatkan keyakinan diri sebelum saingan Kelayakan Piala Dunia 2026,” kata Kim Pan Gon dalam sidang media semalam.

Berdasarkan rekod, Kim Pan Gon pernah membantu Hong Kong mencatat keputusan seri menentang China ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Namun, beliau yakin Malaysia kali ini cukup berbeza dan mampu mengejutkan mana-mana pasukan gergasi di Asia.

“Saya yakin pasukan ini mempunyai potensi cuma mereka tak sedar sudah cukup bagus. Sekarang saya lihat pemain beraksi dengan bagus ketika menentang mana-mana pasukan di Asia,” katanya.

FOTO: FAM

Sebarang keputusan untuk perlawanan ini penting kerana ia memberikan pulangan mata ranking FIFA sekaligus menyaksikan skuad Harimau Malaya berpeluang mendaki beberapa anak tangga dalam kelompok 130 dunia.

Sementara itu, pemain pertahanan, Dion Cools menegaskan beliau dan rakan sepasukannya sedia memberikan tentangan sengit berdepan China.

“Kami sudah analisis kekuatan dan kelemahan China. Kami sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit. Kami akan fokus kepada persembahan kami sendiri,” jelasnya.