Skuad Harimau Malaya nampaknya semakin menarik perhatian pasukan luar negara apabila dijemput menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa.

Menurut laporan daripada Asean Football, Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF), Kazi Salahuddin mengesahkan telah menjemput dua pasukan iaitu dari Malaysia dan Arab Saudi ke Kejohanan Kejuaraan Asian Selatan (SAFF) tahun ini.

Kejohanan edisi ke-14 ini turut disertai oleh India, Bhutan, Bangladesh, Nepal, Maldives dan juga Pakistan dan dijadualkan berlangsung pada 21 Jun hingga 3 Julai 2023.

India yang merupakan juara edisi lepas dipilih sebagai tuan rumah kali ini dan lokasi perlawanan bertempat di Bengaluru.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemungkinan tidak akan menghantar pasukan untuk menyertai kejohanan tersebut.

Hal ini kerana skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon telah dijadualkan menentang Solomon Islands dan Yemen untuk perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan Jun nanti.

Sebagai alternatif, pasukan Malaysia bawah 22 tahun (B-22) kendalian E. Elavarasan boleh dijadikan pilihan beraksi di kejohanan tersebut sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23.

Ia adalah kesempatan terbaik untuk mendedahkan pemain muda dalam perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa sambil memastikan fizikal dan kecergasan mereka lebih bersedia.

Skuad Malaysia B-22 baru sahaja menjuarai kejohanan jemputan Singapura, Piala Merlion selepas menewaskan Hong Kong 2-1 di perlawanan akhir.

Kejayaan ini menjadi motivasi tambahan kepada pemain untuk menghadapi saingan Sukan SEA 2023 yang bakal berlangsung di Kemboja bulan Mei nanti.