Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan berada di luar negara pada bulan September nanti.

Mereka akan berada di sana selama 9 hari menjalani latihan dan turut menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa. Perancangan ini adalah sebahagian daripada persiapan ke Piala Asia 2023 tahun depan.

Bagi menguji keupayaan pemain, Malaysia dijadualkan bertemu pasukan ranking 79 dunia, China untuk aksi persahabatan antarabangsa di Shanghai dan satu lagi lawan yang akan diumumkan nanti oleh FAM.

“Untuk perlawanan kalendar FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) September depan, kita akan bermain di luar dan akan umumkan.

“Tapi biasanya banyak sudah khabar angin (pasukan yang dikaitkan menentang Malaysia). Tapi bulan September kita main di luar,” kata Noor Azman dalam Harian Metro.

Sebelum ini heboh dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan apabila ada yang mengatakan lawan kedua Harimau Malaya ialah salah satu pasukan dari benua Afrika pada jendela FIFA September nanti.

Antara nama negara dari benua Afrika menjadi sebutan peminat ialah Mesir yang pernah beraksi di Piala Dunia 2018. Namun, ia masih bersifat khabar angin dan dinafikan oleh FAM.

Noor Azman Rahman menjelaskan bahawa setakat ini tiada kata putus membabitkan perlawanan persahabatan skuad negara dengan pasukan diranking 35 dunia itu.

“Kita selagi tiada hitam putih tidak akan maklumkan perkara itu kerana tidak tahu betul atau tidak. Mungkin ia hanya khabar angin daripada penyokong bola sepak tempatan.

“Setakat ini, boleh saya katakan kita hanya sah akan bertemu China pada kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) September ini.

“Pada masa sama, FAM juga ada melakukan perbincangan bersama beberapa negara lain yang berada di kedudukan lebih baik daripada Malaysia untuk mengadakan perlawanan persahabatan,” jelasnya.