Kehangatan saingan separuh akhir kejohanan AFF Suzuki Cup 2018 sememangnya membuatkan pelbagai lapisan masyarakat teruja untuk mendapatkan tiket perlawanan untuk sama-sama memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.
Keghairahan itu menjadikan muncul segelintir individu yang mengambil peluang untuk mencari keuntungan mudah dengan menjual kembali tiket yang sudah diperolehi dengan margin yang cukup besar sehingga mencecah 3 kali ganda harga asal tiket berkenaan.
Tinjauan dilaman Carousell – platform yang dijadikan sebagai ‘kedai’ utama ulat-ulat tiket telah memberikan satu hasil carian yang mengejutkan.
Bukan bilangan ulat tiket yang menjadi tumpuan utama tetapi permintaan tinggi dari pembeli, dimana mereka sanggup untuk mendapatkan sekeping tiket mengikut harga yang ditawarkan.
Ada diantara ulat tiket yang membuka harga sehingga RM100 bagi sekeping tiket dengan menggunakan alasan harga tersebut termasuk harga penat, peluh, stress dan kos masa yang telah ‘dilaburkan’.
Ulat tiket yang menggunakan teknologi secara online ini semakin meningkat tetapi ulat tiket yang masih menggunakan kaedah konvensional masih berpeleseran disekitar stadium kerana mereka tahu permintaan yang tinggi dan ada individu yang sanggup membayar ‘harga kapak’ yang diletakkan.
Kewujudan mereka kerana ada yang rela menjadi pak sanggup dan golongan ulat tiket ini boleh diibaratkan sebagai parasit bola sepak negara.
Adalah dinasihatkan kepada para penyokong bola sepak Malaysia, jangan membeli tiket dari ulat tiket yang sentiasa akan mengambil kesempatan untuk kesenangan sendiri.
Jika tidak berjaya mendapatkan tiket, masih ada saluran untuk menyaksikan perlawanan dan semangat patriotik anda tidak berkurang sekalipun menyaksikan dari layar televisyen dirumah.
Kita perangi golongan parasit ini demi kebaikan bersama.