Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menuntut peningkatan prestasi daripada para pemain skuad Harimau Malaya bermula dari dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Syria dan China di Chengdu, China, 6 dan 9 September ini.
Baca Juga:
- Kim Pan Gon Panggil Aguero Dan Hong Wan Perkuat Harimau Malaya
- Arab Saudi Bakal Uji Skuad Harimau Malaya
- Ranking FIFA: Harimau Malaya Mungkin Naik Ke 136 Dunia
“Medan ujian buat skuad Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan adalah bermula dengan dua aksi persahabatan di China pada September ini, sebelum kita akan berdepan pula India dan Palestin/Tajikstan pada Pestabola Merdeka 2023 di Bukit Jalil pada Oktober.
“Seterusnya pada November, kita akan memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Republik Kyrgyz.
“Kesemua pasukan ini kedudukan ranking mereka adalah lebih baik daripada kita. Sudah tentu, ini menjadi medan ujian terbaik buat kita mempamerkan kemampuan sebenar bagi bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik di Asia,” kata Datuk Haji Hamidin.
Beliau juga berterima kasih kepada barisan pemain skuad Harimau Malaya yang sentiasa bersemangat dan komited dalam menerima panggilan tugasan negara.
“Saya tahu yang anda keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan domestik dan antarabangsa di sepanjang tahun. Namun apabila bermain untuk negara, bermainlah dengan sepenuh jiwa dan sehabis baik, demi maruah negara,” tegas Datuk Haji Hamidin.
Seramai 26 pemain telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sejak 29 Ogos 2023.
Bagaimanapun, dua pemain iaitu Hong Wan dan Damien Lim tidak dapat menyertai pasukan kerana mengalami kecederaan. Tempat Damien digantikan oleh penjaga gol KL City, Azri Ghani manakala tiada pemain lain dipanggil ganti tempat Hong Wan.
Aksi persahabatan antarabangsa itu juga adalah sebahagian daripada persiapan awal Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.