Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau tidak akan memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan lain terutamanya badminton yang mempunyai ramai peminat.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan akan melepaskan jawatannya selaku presiden badan induk itu sebaik sahaja tahun 2023 berakhir.

Ianya sekaligus mencetus pelbagai spekulasi sehingga Hamidin disebut-sebut sebagai calon pengganti Norza.

Bagaimanapun, Hamidin menjelaskan beliau masih ada banyak tugas yang perlu dilakukan bersama FAM dan berpendapat masih ada calon lain yang lebih layak mengisi kerusi nombor satu BAM tesebut.

“Sudah tentu nama ini (calon Presiden BAM) boleh disebut oleh semua orang, tetapi saya tak berminat.

“Kena faham kerana saya sudah memegang jawatan besar dalam bola sepak dan masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat.

“Mana boleh pegang dua jawatan nanti orang kata gila. Mana mungkin saya pegang dua persatuan besar yang memiliki ramai peminat di negara ini.

“Saya rasa tidak sesuai dan tidak bagus. Lebih baik kita hentikan spekulasi itu,” kata Hamidin kepada pihak media semalam.

Norza sebelum ini membuat pengumuman bahawa akan mengundur diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai lalu kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Untuk rekod, Norza mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.