Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya selepas mencipta sensasi pada perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup 2023 di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, Portugal petang tadi.
Hakim yang berusia 15 tahun berjaya mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Eropah tersebut selepas menduduki tempat ketiga dengan mencatatkan masa 26 minit 09.365 saat.
Hanya ketinggalan 0.017s di belakang pemenang dari Sepanyol, Angel Piqueras yang juga merupakan pendahulu saingan dengan mengumpul 50 mata apabila turut menggungguli perlumbaan 1.
Hakim Danish pula kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 27 mata dikumpul apabila turut mengutip 11 mata pada perlumbaan 1 selepas menamatkan saingan di tempat kelima.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kejayaan ini. Perlumbaan yang sangat sengit, saya kekal terus memberikan saingan pusingan demi pusingan,’’ ujar Hakim Danish.
“Saya ada sedikit tertinggal di kelompok hadapan namun saya berjaya meneruskan saingan dan berjaya tamatkan perlumbaan di posisi ke-3.’’
“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan ingin berterima kasih kepada keluarga saya, Zulfahmi Khairuddin, dan semua penaja bersama seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya dan perlumba Malaysia yang lain.”
Sementara itu seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril menamatkan saingan di kedudukan kesembilan dan ke-10 untuk berada di tempat kesembilan secara keseluruhan dengan 13 mata.
Perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup diadakan bersempena Grand Prix Portugal yang membuka tirai saingan Kejuaraan Motosikal Dunia 2023.