Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau lebih mesra dengan panggilan ‘Damok’ mahu melakukan yang terbaik pada perlumbaan kedua yang bakal berlangsung di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina pada hujung minggu ini.
Baca Juga:
- Hakim Danish Cemerlang Naik Podium Di Portugal
- Marc Marquez Sasar Jadi Juara Dunia Ke-7 Dalam MotoGP Musim 2023
Pada kempen sulung di Portugal minggu lalu, Damok yang bersama pasukan MT Helmets – MSi sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-22 dimana pelumba dari Sepanyol, Daniel Holgado muncul pemenang.
Menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing, Damok dan pasukan telah bersedia untuk bekerja lebih keras pada pusingan kedua ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin pungutan mata.
Damok dan seluruh kakitangan pasukannya pada ketika ini juga sedang berusaha mencari percaturan lebih baik dan keserasian bersama jentera KTM yang baru pertama kali buat musim ini digunakan beliau.
“Saya amat gembira untuk perlumbaan di Argentina, tidak sabar untuk mengenali litar yang baru buat saya di Termas de Rio Hondo.”
“Perancangannya adalah untuk berkerja keras di sesi latihan pertama dan cuba untuk meletakkan diri di dalam kelompok 15 terbaik secepat mungkin.”
“Saya yakin saya boleh dan saya akan cuba sehabis baik,” ujar Damok dengan penuh keyakinan.
Litar Termas de Rio Hondo pernah menyaksikan lagu keramat Negaraku berkumandang dan bendera Malaysia berkibar megah apabila Khairul Idham Pawi dengan cemerlang menewaskan pelumba lain untuk memenangi kategori sama pada 4 April 2016.