Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada petang semalam telah mengumumkan senarai 15 pemain yang disenarai pendek untuk berada dalam Program Sukan Asia 2022.

Baca Juga:

Melihatkan kepada senarai pemain yang terpilih, nama Muhammad Zulkifli Abd Razak atau mesra dengan panggilan ‘Sobey’ tidak tersenarai oleh badan induk sepak takraw negara itu.

Sebaliknya, barisan kejurulatihan lebih berminat untuk membawa tekong muda Negeri Sembilan Antlers, Muhammad Haziq Hairul Nizam bersama-sama empat lagi muka lama seperti Mohammad Syahir Rosdi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Muhammad Hairul Hazizi Haidzir.

Pemilihan Haziq jelas tidak boleh dipertikaikan kerana beliau beraksi dengan cukup cemerlang dalam saingan STL Champions Cup hingga membawa pasukannya muncul juara.

Bagaimanapun, ketiadaan Sobey dalam senarai terpilih sudah pastinya menjadi perdebatan para peminat sepak takraw tanah air kerana pengalaman serta kemampuannya disifatkan sebagai masih mampu untuk menyumbang buat negara.

PSM menerusi Dato’ Haji Abdul Halim Suleiman yang merupakan Timbalan Presiden 1 menjelaskan bahawa pemilihan dibuat adalah berdasarkan penilaian terutamanya daripada segi kecergasan ketika sesi latihan dimana Sobey merupakan salah seorang yang terpilih menjalani latihan awal melibatkan 25 orang pemain.

“Ini barisan pemain terbaik yang kita ada sekarang ini,” ujar Abdul Halim menurut sumber Harian Metro.

“Pengguguran Sobey dari skuad ini bukan bermakna dia tidak bagus, tetapi kami nilai dari segi kecergasan melalui ISN (Insitut Sukan Negara) dan bukan suka-suka atau memilih pemain kegemaran.”

“Pemilihan ini dibuat berdasarkan kriteria yang sudah ditetapkan kerana dari 15 pemain kita hanya akan pilih 12 pemain berdasarkan syarat sudah ditetapkan untuk ke Sukan Asia.”

Baki pemain lain yang dipilih ialah Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Afifuddin Mohd, Razali Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Mohamad Azlan Alias selaku perejam.

Manakala posisi pengumpan pula terdiri daripada Amirul Zazwan Amir, Mohd Muqlis Borhan, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Zaim Razali dan Farhan Adam.

15 pemain yang terpilih tersebut akan berkampung di Thailand bermula 31 Ogos hingga 4 September untuk menghadapi Piala Pattaya dimana ia menjadi medan terakhir sebelum tiga lagi pemain bagi setiap posisi akan digugurkan.

Malaysia hadir ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou sebagai juara bertahan selepas memenangi saingan edisi 2018 hasil kejayaan menundukkan tuan rumah, Indonesia.

 

Sumber