Penyerang Manchester City, Erling Haaland jelas tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kemampuan hebat dimilikinya ketika beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Hadir ke Etihad Stadium dengan tanda harga £51 juta, Haaland sentiasa mendapat lorongan bola berkualiti tinggi daripada rakan sepasukan terutamanya Kevin De Bruyne.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya dengan cukup baik anak kepada Alf-Inge Haaland ini apabila beliau sudah berjaya menjaringkan enam gol selepas mengharungi empat perlawanan liga.

Erling Haaland: Man City Kelab Yang Betul Untuk Penuhi Impian Saya

Lebih mencuri tumpuan sudah pastinya hatrik diledakkan ketika bertemu Crystal Palace, Sabtu lalu dalam membantu The Cityzens mencatatkan kemenangan 4-2.

Beliau hanya gagal menjaringkan gol ketika menentang Bournemouth tetapi masih mampu mencipta bantuan jaringan dalam membantu gol dihasilkan oleh Ilkay Gundogan.

Sehubungan dengan kemampuan yang pantas dibuktikannya membuatkan pengendali pasukan, Pep Guardiola mengakui bahawa kem Manchester City sudah mula jatuh cinta terhadap penyerang berusia 22 tahun itu.

“Apa yang paling adalah dia merupakan seorang yang sangat menyenangkan. Begitu merendah diri,” ujar Pep Guardiola menurut laporan Goal.

Haaland meraikan jaringan bersama Phil Foden. Kredit Foto: Manchester City

“Kami benar-benar sudah jatuh cinta kepadanya. Tidak hanya kerana gol yang telah dijaringkannya. Ia menunjukkan betapa dia begitu gembira.”

“Saya melihat sikap dan bahasa tubuhnya. Dia memberikan sepenuhnya tumpuan kepada bahasa tubuh pemain yang lain dan sentiasa berada di kedudukan yang tepat [untuk menjaringkan gol],” tambah pengendali kelahiran Sepanyol itu lagi.

Haaland dijangka akan terus mampu meledakkan jaringan apabila Manchester City akan melayani kunjungan pendatang baharu, Nottingham Forest pada awal pagi Khamis nanti.

Kredit Featured Image: Manchester City

 

Sumber