Kelab yang beraksi dalam saingan J1 League, Vissel Kobe meneruskan usaha untuk mengumpulkan pemain bintang dalam pasukan apabila menandatangani pemain pertahanan berpengalaman yang pernah beraki di Bundesliga Jerman, Gotoku Sakai.
Sakai yang pernah beraksi dalam dua temasya Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Jepun menyertai Vissel setelah mewakili Hamburger SV dalam saingan 2. Bundesliga musim ini.
Vissel Kobe ketika ini menduduki tangga ke-15 daripada 18 pasukan yang bertanding dan kemasukan Sakai dilihat tepat pada waktunya kerana Vissel merupakan pasukan yang paling banyak dibolosi dan mereka perlu segera memperbaiki benteng pertahanan bagi mengelakkan tersingkir dari saingan J1 League musim hadapan.
Setelah menyelesaikan segala proses perpindahan, Sakai berkata: “Saya mahu menggunakan pengalaman beraksi di Jerman untuk menyumbangkan sesuatu yang positif terhadap pasukan.
Gotoku Sakai merupakan produk daripada akademi Albirex Niigata dan beliau beraksi bersama Albirex selama dua musim. Pada 2012, pemain pertahanan kanan ini menyertai VfB Stuttgart sebelum berpindah ke satu lagi kelab Jerman, Hamburger SV (HSV) pada 2015. Sakai pernah diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan ketika bersama HSV.
Vissel ketika ini dibimbing oleh bekas pengendali HSV, Thorsten Fink dan sebelumnya mereka sudahpun menandatangani beberapa pemain bintang seperti tiga pemain yang pernah memenangi Piala Dunia iaitu David Villa, Lukas Podolski dan Andres Iniesta.
Baru-baru ini, kelab yang dimiliki oleh syarikat E-Dagang dari Jepun, Rakuten Inc menandatangani bekas pemain pertahanan Arsenal dan Barcelona, Thomas Vermaelen.