Pemain tengah Manchester City, Rodri mengakui gandingannya bersama Mateo Kovacic telah membuka ruang luas buat beliau untuk memburu jaringan.
Baca Juga:
- Rodri: Mentaliti Kami Untuk Menang Tiga Piala
- Burnley vs Man City: Haaland Cetak 2 Gol Untuk Juara Treble Mulakan Misi Pertahan Kejuaraan
- Arsenal Juara Perisai Komuniti 2023/24 Atas Man City
Beliau yang muncul wira The Cityzens apabila jaringan tunggalnya membantu kelab tersebut menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 dilihat meneruskan kecemerlangan itu.
Hal ini kerana pemilik nama penuh Rodrigo Hernández Cascante yang sebelum ini dilihat lebih bertindak sebagai pemain tengah bertahan itu telah menjaringkan dua gol dalam tiga aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24.
Malah, gol yang dihasilkannya pada minit ke-88 ketika bertemu Sheffield United tempoh hari telah menghadiahkan kemenangan ketiga berturut-turut buat Manchester City dalam kempen liga.
Mengulas mengenai kecemerlangan di hadapan pintu gol lawan itu, Rodri tanpa berselindung mengakui gandingan baharunya bersama Kovacic menjadi penyebab utama beliau mampu menjaringkan gol.
“Saya fikir saya boleh meningkatkan lagi aspek tersebut (penyudah) meskipun saya tahu ia bukannya tugas saya.”
“Saya tahu saya boleh melakukannya dan dalam beberapa situasi di mana saya membaca permainan danb memerhatikan penyerang dan pemain sayap, saya boleh memanfaatkan ruang di ‘final third’ yang dicipta oleh mereka.”
“Saya sedang berusaha untuk meningkatkan naluri untuk menjaringkan gol,” ujar Rodri menurut laporan Goal Indonesia.
“Jika Kovacic bergandingan dengan saya, ya dia akan sering ke hadapan. Ilkay [Gundogan] dan Kevin [De Bruyne] bermain lebih ke depan berbanding saya. Jadi saya perlu menutupi mereka, tetapi sekarang dengan Mateo, saya boleh mara lebih ke hadapan.”
“Dia [Kovacic] adalah pemain yang berpengalaman dan cerdas. Memang mudah untuk bermain dengannya.”
“Dia mempunyai kemampuan istimewa untuk mematahkan bola dan dia fasih berbahasa Sepanyol. Lebih mudah untuk berkomunikasi dengan dia,” tambah Rodri lagi.