Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Casio G-SHOCK hari ini telah melancarkan jam tangan edisi terhad keduanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kerjasama pertama di antara G-SHOCK dan FAM iaitu jam tangan GA-2000FAM-1A9 telah dilancarkan pada 31 Mac lalu dan ia disambut baik oleh penyokong bola sepak tanah air apabila produk berkenaan laris serta habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja pada hari pertama penjualannya pada 29 Mei lalu.

Bagi keluaran terbaharu G-SHOCK dan FAM kali ini, jam tangan GA-900FAM-1A9 ini didatangkan dengan reka bentuk G-SHOCK yang tahan lasak dan lebih bergaya, sesuai mengikut citarasa peminat Harimau Malaya selain memiliki jaluran Harimau Malaya yang ikonik, melambangkan keghairahan rakyat Malaysia dalam sokongan mereka terhadap pasukan kebangsaan.

Selain itu, keluaran edisi terhad kedua ini direka dengan sedikit kelainan apabila ia memiliki cakaran harimau sendiri berwarna jingga di bahagian utas talinya membawa makna simbolik keberanian serta keghairahan barisan pemain yang membawa nama negara di mata dunia.

Bagi merancakkan lagi kempen pembelian jam tangan edisi terhad kedua G-SHOCK x FAM ini, Casio telah melancarkan permainan secara maya yang direka khas bagi peminat Harimau Malaya mendapatkan slot pembelian jam tangan berkenaan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Casio Malaysia atas sokongan yang berterusan terhadap Harimau Malaya. Kepercayaan mereka terhadap pasukan kebangsaan telah sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan serta semangat para pemain.

“Saya yakin kempen G-SHOCK x FAM edisi kedua ini juga akan disambut baik oleh rakyat Malaysia terutama sekali penyokong Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang, menyokong pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi Piala Suzuki AFF 2020 bakal bermula bulan hadapan.

“Skuad bola sepak kebangsaan perlu menjadikan sokongan daripada barisan penaja serta pemain ke-12, iaitu penyokong Harimau Malaya sebagai inspirasi untuk melakukan yang terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di Singapura nanti,” kata Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin.

Jam tangan edisi terhad kedua G-SHOCK x FAM ini akan dijual secara eksklusif menerusi slot pembelian yang akan direbut oleh peminat Harimau Malaya menerusi permainan secara maya pada harga RM699.

Dengan setiap pembelian, pembeli akan menerima sebuah kotak khas yang mengandungi pin peringatan, pelitup muka fabrik, pelekat vinil, kain tampalan yang disulam dengan ukiran Harimau Malaya, serta pin enamel.

Sementara itu, Pengarah Urusan Casio Malaysia, Tezuka Itsuro-san meluahkan rasa teruja untuk memulakan kempen pembelian G-SHOCK x FAM edisi terhad kedua ini.

“Casio ingin mendatangkan sedikit kelainan bagi merancakkan kempen pembelian jam tangan GA-900FAM-1A9 kali ini di mana peminat Harimau Malaya perlu menyertai permainan secara maya di laman web www.gshockpenaltykick.com.my bermula 10 November hingga 11:59 malam, 23 November 2021 untuk mendapatkan slot pembelian.

“Seramai 680 pemenang dari permainan berkenaan yang tersenarai di dalam papan pendahulu permainan akan diberikan keistimewaan untuk membuat pembelian jam tangan edisi khas kedua G-SHOCK x FAM ini di mana kami (Casio) akan menghubungi mereka selepas tempoh masa permainan secara maya itu tamat.

“Skuad Harimau Malaya merupakan kebanggaan Malaysia dan pasukan ini telah menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa mahupun agama di bawah slogan keramat ‘Malaysia Boleh’.

“Kami di Casio Malaysia juga turut berbangga kerana dapat meneruskan kerjasama bersama FAM sekali gus menyokong mereka sepenuhnya apabila skuad Harimau Malaya mengukir nama Malaysia di pentas dunia,” kata Tezuka-san.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Hanya Ada Tiga Hari Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya