Pahang Rangers segera melupakan kekalahan pada aksi sulung dalam Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 selepas menundukkan wakil Myanmar, Victoria University College (VUC) 4-3 sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan penting dicatatkan tersebut sekali gus turut membawa skuad kendalian Gerard Casas itu ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan A.

Ini bermakna wakil negara itu akan berhadapan dengan kelab gergasi Indonesia, Black Steel FC Papua pada aksi yang bakal berlangsung Jumaat.

Aksi yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand itu bagaimanapun berlangsung dengan cukup sengit terutamanya selepas Pahang Rangers mendahului empat gol.

Hanya kemenangan yang membawa mereka ke pusingan seterusnya, Pahang Rangers memulakan aksi dengan cukup garang sebaik sahaja aksi dimulakan.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka berjaya menjaringkan tiga gol pada lima minit awal menerusi Matheus Gonzalez (minit pertama), Akmarulnizam Idris (minit kedua) serta Sufri Shamil berselang tiga minit kemudian.

Memasuki babak kedua, Ridzwan Bakri pula menjadikan kedudukan 4-0 menerusi percubaan lambung dalam kawasan D yang menewaskan penjaga gol VUC.

Selepas itu menyaksikan kebangkitan cuba dijelmakan oleh VUC menerusi taktikal ‘Power Play’ yang jelas cukup membahayakan buat Pahang Rangers.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila tiga gol terhasil dimana Aung Zinn Oo meledakkan dua gol manakala Mahadir Harahap Khairudin tertampan bola ke gawang sendiri.

Usaha VUC untuk mengikat kedudukan bagaimanapun tidak kesampaian untuk memastikan kemaraan Pahang Rangers ke peringkat empat pasukan terbaik Kejuaraan Kelab AFF ini hasil kemenangan 4-3.