Bintang muda skuad bawah 23 tahun Indonesia (B-23), Firza Andika berharap dapat menimba pengalaman beraksi di luar negara pada tahun depan. Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mengikut jejak langkah Saddil Ramdani berhijrah ke Liga Malaysia.

Firza yang baru sahaja selesai membantu negaranya meraih pingat perak dalam acara bola sepak lelaki temasya Sukan SEA 2019 kelmarin turut intai peluang beraksi di Thailand dan Jepun.

“Saya ada keinginan bermain di Liga Malaysia. Mahu cari pengalaman bagaimana rasanya bermain di Malaysia. Teringin juga nak ke Liga Thailand dan Jepun tetapi itu semua bergantung kepada agen,” katanya dalam temubual bersama Bolasport.com.

Musim ini, beliau beraksi bersama PSM Makassar dalam saingan Liga Indonesia 1. Kontraknya akan berakhir pada hujung bulan ini dan kini sedang mencari pasukan baharu

Bagaimanapun, pemain yang beraksi di posisi pertahanan kiri ini mengakui belum ada apa-apa komunikasi dengan mana-mana kelab Liga Malaysia dan sedia mempertimbangkan tawaran daripada pasukan Liga Super yang sedang mencari pemain import kuota Asean.

“Belum ada komunikasi, tapi sudah sedia kalau main di Malaysia, saya mahu cabar diri sendiri,” ujar pemain yang berusia 20 tahun itu.

Firza Andika sebelum ini pernah menyertai kelab Belgium, AFC Tubize pada awal tahun ini. Namun, beliau akhirnya terpaksa pulang ke Indonesia kerana mempunyai masalah dari segi penajaan.

Setakat ini, Firza belum membuat penampilan pertama bersama skuad senior Indonesia dan sempat membantu Garuda Muda menjuarai kejohanan AFF B-22 di Kemboja pada bulan Februari lepas.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

48 Kelab J.League Lulus Perlesenan Kelab AFC Untuk Tahun 2020, Liga Paling Banyak Terima Lesen AFC Di Asia

8 Syarikat Hantar Bidaan Hak Penyiaran Thai League 2021-2028, FA Thailand Akan Meneliti 2 Bidaan Terbaik

Thitipan Puangchan Akhiri Tempoh Pinjaman Bersama Kelab J1 League, Oita Trinita