Kisah perjalanan skuad bola sepak Harimau Malaya bakal ditayangkan di pawagam untuk tontonan peminat bola sepak tempatan menerusi filem berjudul ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’.

Pelancaran filem ini telah dirasmikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, menyaksikan pengarahnya Datuk Afdlin Shauki mengangkat persepektif baharu dalam karya melibatkan skuad Harimau Malaya.

Filem terbitan 4wards Pictures Sdn Bhd itu mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan skuad Harimau Malaya di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun.

Lebih menarik, ia bukan sahaja sekadar tentang pemain bola sepak tetapi turut mengangkat kisah tiga orang peminat tegar bergelar Ultras yang disenaraihitam menghadiri perlawanan bola sepak selama setahun.

Berdurasi 120 minit, filem ini turut memaparkan kisah disebalik tadbir skuad Harimau Malaya sehingga Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku ketua jurulatih.

Difahamkan filem ini menelan kos sekitar RM5 juta dan sesi penggambaran dijalankan selama 35 hari sekitar lembah klang.

Antara pelakon terkenal tanah air yang membarisi filem tersebut ialah Sophia Albarakbah, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Kavin Jay, Fazura, Namron, Bell Ngasri, dan Azhar Sulaiman.

Sebelum ini, peminat bola sepak tanah air pernah dihidangkan dengan filem “Ola Bola” yang memaparkan semangat juang pemain bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Rusia pada 1980.

Filem OlaBola juga melakar kejayaan tersendiri apabila mencatatkan jumlah kutipan melebihi RM14. 5 juta dalam tempoh empat minggu tayangan.