Kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr kini berdepan larangan mendaftar pemain baharu oleh FIFA. Arahan tersebut telah pun dikeluarkan kepada kelab itu.

Baca Juga:

Kenapa Al Nassr disekat daripada mendaftar pemain baharu?

Hal ini kerana kelab yang diwakili Cristiano Ronaldo itu masih gagal melangsaikan hutang mereka kepada Leicester ketika membeli Ahmed Musa.

Hutang itu berkaitan dengan bayaran bonus yang dipersetujui di antara kedua dua kelab itu beberapa tahun yang lalu.

Ahmed Musa menyertai Leicester pada 2016. Namun gagal menunjukkan prestasi terbaiknya seperti yang dia pamerkan ketika bersama CSKA Moscow dan pasukan kebangsaan Nigeria.

Bersama Leicester, Ahmed Musa hanya bermain 33 penampilan sahaja dan menjaringkan cuma 5 gol.

Dia kemudian meminta untuk dijual ke Al Nassr pada 2018. Kelab Arab Saudi itu membelinya dengan nilai £14 juta.

Ahmed Musa bermain 60 perlawanan bersama juara Saudi 9 kali itu. Sebelum dilepaskan sebagai ejen bebas pada 2020.

FIFA mengenakan larangan ke atas Al Nassr selepas kelab itu masih tidak melangsaikan bonus sebanyak £390 ribu kepada Leicester.

Hukuman itu pertama kalinya dikenakan pada Oktober 2021. Namun FIFA pada masa itu memberikan peluang kepada Al Nassr melangsaikan hutang tersebut atau mereka berisiko dilarang mendaftarkan pemain baharu.

Larangan itu merangkumi larangan pendaftaran pemain di peringkat domestik dan antarabangsa.

Al Nassr antara kelab yang aktif mendaftarkan pemain baharu dalam beberapa jendela perpindahan terakhir. Mereka turut mendaftarkan Cristiano Ronaldo sebelum ini.