Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Rodríguez kembali beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia setelah meninggalkan pasukan dari Selatan tanah air itu.
Rodriguez menyertai Persis Solo yang mana merupakan pendatang baharu dalam saingan divisyen pertama liga Indonesia dan mereka mengumumkan ketibaan pemain berusia 35 tahun itu menerusi laman media sosial rasmi pasukan.
Keputusan Rodriguez meninggalkan JDT dilihat sedikit mengejutkan dimana beliau sentiasa diturunkan dalam kesebelasan utama JDT II selain menjadi penjaring terbanyak dalam saingan Liga Premier setakat ini dengan perolehan 8 gol.
Rakan sepasukan Rodriguez di JDT II, Kiko Insa mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain dari Sepanyol itu bersama pasukan baharunya.
“Kami akan merindui anda. Terima kasih untuk semua jaringan buat pasukan, untuk masa, gelak tawa dan juga pengalaman. Hari ini bola sepak memisahkan kita tetapi anda adalah sahabat selamanya. Saya doakan kejayaan dan kesihatan anda bersama pasukan baharu.
“Saya pasti anda akan menjaringkan banyak gol seperti yang biasa anda lakukan. Fernando Rodriguez sentiasa dalam pasukan saya!,” kata Kiko dipetik dari laman Instagram miliknya.
Persis muncul juara saingan Liga 2 musim lalu dan mereka menjadi salah satu pasukan selain Dewa United dan RANS Nusantara yang dipromosikan ke saingan Liga 1 musim ini.
Persis dikelola oleh tiga individu dimana salah seorangnya ialah anak kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo iaitu Kaesang Pangarep, bekas presiden Inter Milan iaitu Erick Thohir dan Pengarah PT Plevia Makmur Abadi Kevin Nugroho.
Menurut laporan media Indonesia, Kaesang menjadi pemegang saham terbesar dalam kelab iaitu sebanyak 40 peratus manakala Kevin memegang 30 peratus dan Erick pula memegang 10 peratus saham.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:
Piala FA 2022: Rahadiazli Bawa Terengganu Mara Ke Final Jumpa JDT