Berbaki dua hari lagi untuk dua pasukan iaitu Perak dan Kedah berentap di pentas perlawanan akhir Piala FA musim 2019 dimana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dipilih sebagai venue perlawanan akhir pada edisi kali ini.

Pentas final kali ini nyata mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang import Kedah dari Sepanyol, Fernando Rodriguez dimana beliau berazam mahu memenangi trofi Piala FA musim ini untuk dihadiahkan kepada penyokong setia pasukan itu.

Menurut Fernando, keserasian antara beliau dan rakan sepasukan kini semakin baik berbanding sebelumnya dan bekas pemain Mitra Kukar serta Ceres Negros itu berazam untuk menjaringkan lebih banyak gol bagi skuad Lang Merah.

Fernando Rodriguez
Sumber Gambar: BH

“Keyakinan saya semakin memuncak dan saya mahu meledak banyak gol untuk pasukan selepas ini. Saya juga semakin selesa dengan rakan sepasukan dan mereka banyak membantu saya menyesuaikan diri sepanjang tempoh ini dan aksi final adalah saat yang penting bagi saya dan pasukan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pemain berusia 32 tahun ini turut mengakui keupayaan beliau akan diukur dari segi bilangan gol yang dijaringkan dan menanam hajat untuk memberikan aksi yang terbaik sekiranya diberikan peluang bagi membarisi kesebelasan utama oleh pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak.

Fernando Rodriguez
Aksi Fernando bersama Kedah.
Sumber Gambar: Goal.com

“Jika diturunkan di pentas final, saya akan berusaha untuk menambah bilangan gol dalam perlawanan dan akan beri 100 peratus untuk memastikan piala dapat dibawa pulang ke bumi Kedah,” tambahnya.

Fernando Rodriguez membentuk satu gandingan mantap bersama seorang lagi pemain import, Jonathan Bauman di bahagian serangan pasukan Kedah dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Dalam saingan Liga Super, Fernando berjaya menjaringkan 9 gol dan beliau turut menjadi penjaring terbanyak Kedah dengan 13 gol dalam semua pertandingan.