Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah memanggil seorang lagi pemain iaitu Fazly Mazlan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Selasa, 29 November 2022 bagi persiapan menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Baca Juga:

Pemain pertahanan Selangor itu akan melapor diri pada 5 Disember 2022 selepas tamat perlawanan akhir Final TM Piala Malaysia 2022, Sabtu ini. Fazly juga merupakan pemain yang ke-30 menyertai kem latihan pusat tersebut.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya Pan Gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, saingan separuh akhir akan berlangsung pada 6/7 Januari 2023 dan 9/10 Januari 2023 manakala Final pula dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023, semuanya secara timbal balik.

Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia ((FAM)

Tanpa 12 pemain yang tidak dapat menyertai pasukan pada kali ini, inilah barisan pemain terbaik yang dimiliki untuk menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang mana ia peluang kepada mereka membuktikan kemampuan masing-masing, selain menjadi platform untuk Pan Gon mempersiapkan pasukan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026 bermula tahun depan dan juga Piala Asia 2023 di Qatar nanti.

Ia berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

Sebagai menghormati Peraturan FIFA, 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.